HALAMAN SANTAI

Jumaat, 22 Ogos 2014

Gambar, video kematian Mat Soh dikongsi ramai di media sosial [TONTON VIDEO]

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Gambar dan video yang merakamkan kematian seorang mujahidin rakyat Malaysia di Syria mendapat perhatian ramai di media sosial dan blog dengan beberapa daripadanya mengucapkan tahniah di atas kejayaan ‘jual belinya’ dengan Allah.
 
Rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Mat Soh ataupun Abu Turab, kononnya terbunuh sekitar 14:00 waktu tempatan semalam ketika mempertahankan bandar Arzeh, Syria dengan beberapa pejuang jihad lain. 
 
Gambar mayat Mat Soh, 52, dan video pengkebumiannya telah dikongsi oleh beratus-ratus orang di media sosial dan blog. Ada yang mengucapkan tahniah kepadanya kerana dapat mati syahid. 
 
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengesahkan laporan seorang rakyat Malaysia terbunuh dan dua lagi cedera ketika terlibat dengan aktiviti militan di Syria. 
 
Menurut satu posting oleh Akel Zainal di Facebook, Mat Soh terbunuh ketika dia sedang mempertahankan sebuah kampung bernama Syar’aya. 
 
Akel Zainal yang sebelum ini terkenal sebagai pemain drum dalam kumpulan rock 90-an Ukays, juga dikatakan seorang pejuang jihad.
 
Dalam halaman Facebooknya, beliau mendakwa melihat sebuah kereta datang dari Arzeh membawa mayat Mat Soh, dan ketika itu beliau sendiri sedang dalam perjalanan ke bandar. 
 
Dalam catatannya itu Akel berkata, dia sempat mencium pipi Mat Soh dan berkata 'kita akan bertemu lagi di sana, tunggu saya di sana', merujuk kepada akhirat. 
 
"Beliau (Mat Soh) tidak pernah bermasam muka dengan saya, dan sentiasa ceria di kalangan saya dan sahabat-sahabat yang lain. Beliau sentiasa mengambil peluang untuk menyentuh kaki dan tangan saya apabila kita bersama-sama, " katanya dalam satu posting yang menerima lebih 2,000 pengunjung. 
 
Seorang pejuang lain, menggelar dirinya Abu Nuroin berkata, Mat Soh dikebumikan di tanah perkuburan dikhaskan untuk orang yang mati syahid di bandar Kafer Zeta. 
 
Katanya, terdapat tiga pejuang lain juga rakyat Malaysia yang cedera dalam serangan di Arzeh, iaitu Abu Aisyah, Abu Tolhah, dan Abu Ain. 
 
"Ustaz Lotfi juga selamat," tambah Abu Nuroin, merujuk kepada bekas ahli PAS Kedah Mohd Lotfi Ariffin yang dipecat dari parti itu kerana aktiviti jihad beliau. 
 
Pada Jun lalu, Kementerian Luar menyatakan 15 warga Malaysia didakwa terbunuh di Syria selepas menyertai kegiatan pengganas dan jihad dengan cabang al-Qaeda, menurut Wakil Tetap Syria ke Bangsa-Bangsa Bersatu di New York. 
 
Pekerja kilang Malaysia Ahmad Tarmimi Maliki, disyaki ahli IS (Islamic State atau Negara Islam), dipercayai pengebom berani mati yang membunuh 25 anggota polis Iraq pada Mei lalu. 
 
IS, sebelum ini dikenali sebagai Negara Islam di Iraq dan Levant (Isil), mendapat perhatian kebelakangan ini kerana menyiarkan video memenggalkan kepala seorang wartawan Amerika James Foley. 
 
Di Malaysia, polis memberi amaran rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan militan Islam Negara Islam (IS) berpangkalan di Iraq dan Syria, kini turut mengenal pasti beberapa sasaran lain di negara ini. 
 
Penolong Ketua Pengarah anti-keganasan, Datuk Ayob Khan Mydin, berkata 19 orang disyaki militan tempatan telah ditangkap antara April dan Jun tahun ini ketika dalam perjalanan ke Turki dan Syria untuk menjalani latihan bersama IS dengan bertopengkan "menjalankan kerja-kerja kemanusiaan". 
 
Katanya, kumpulan itu merancang untuk menubuhkan sebuah khilafah Islam Asia Tenggara Asia yang akan termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Singapura. 
 
Putrajaya telah mengklasifikasikan Isil sebagai sebuah organisasi pengganas.
 

Tiada ulasan: