Oleh Shuhaniza Said
KLANG: Sebuah gerakan yang dikenali sebagai Solidariti Kebangkitan Abdul Khalid Ibrahim hari ini menghantar memorandum bantahan kepada Sultan Selangor bagi menuntut keadilan ke atas Menteri Besar berkenaan, selain meminta campur tangan pihak istana agar kemelut politik di negeri ini diselesaikan mengikut budi bicara Sultan.
Pengerusi gerakan tersebut, Hazlan Shaffii Adil berkata, kebangkitan
mereka adalah bagi mempertahankan institusi kesultanan Selangor daripada
tindakan pihak tertentu yang dilihat cuba menimbulkan kekeliruan bagi
mendesak pertukaran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang mana ianya jelas
memperlihatkan sikap biadap kerana tidak akur kepada titah Sultan.
"Disebabkan percaturan politik mereka yang salah, dengan masalah
dalaman, ia mendatangkan masalah kepada kita iaitu rakyat Selangor.
"Ini sangat membuang masa. Kita nak mengadu kepada Sultan.. Kita ikut
titah Tuanku. Kita mohon kepada Tuanku untuk siasat pula pihak pengadu
(PKR)," katanya kepada pemberita ketika menyerahkan memorandum di Istana
Alam Shah, di sini.
Memorandum berkenaan diserahkan kepada wakil istana iaitu Penolong Pegawai Tadbir yang dikenali sebagai Siti Norlaila.
Gerakan tersebut, kata Hazlan, akan menganjurkan Hari Kebangkitan
Rakyat Selangor di Stadium Kota Raja pada 30 Ogos ini bagi menuntut agar
rakyat Selangor bangkit mempertahankan kedaulatan institusi kesultanan
dan titah Sultan Selangor berhubung kemelut jawatan menteri besar.
Sementara itu, seorang wakil NGO Anak-anak Bugis yang juga kerabat
diraja Selangor, Raja Kamaruddin Raja Abdul Wahid meluahkan kekecewaan
kepada PKR yang disifatkan sebagai biadap dan cuba memperkotak-katikkan
titah Sultan Selangor.
Tambah Raja Kamaruddin yang mengakui sebelum ini adalah penyokong kuat
PKR, beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, termasuk
pimpinan parti politik yang tidak tidak menghormati serta mencabul
Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.
"Kita rakyat bangkit sebab parti politik dah jadi pembohong. Kita
rakyat bangkit menyokong Sultan Selangor dan hendakkan menteri besar
dikekalkan.
"Kalau ulama dah kata menteri besar betul, siapa lagi yang kita boleh
percaya," ujarnya yang merujuk kepada keputusan Majlis Syura Ulama PAS
berhubung kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor.
Krisis jawatan Menteri Besar Selangor yang berlarutan sejak hampir enam
bulan lalu masih belum diselesaikan ekoran keengganan Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim mematuhi arahan PKR untuk meletakkan jawatan dan memberi
laluan kepada Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengambil
alih jawatan tersebut.
Wan Azizah baru-baru ini diangkat sebagai calon tunggal Menteri Besar
Selangor selepas dipersetujui sebulat suara oleh Majlis Pimpinan Pakatan
Rakyat yang bermesyuarat 17 Ogos lalu.
Walaupun pencalonan Wan Azizah pada mulanya ditolak oleh PAS, namun
parti Islam itu akhirnya memilih untuk menyokong pemimpin wanita itu
kerana beralasan Khalid sudah dipecat oleh PKR, sekaligus membatalkan
semua pendirian yang pernah dibuat oleh pimpinan serta sayap parti itu
termasuk Majlis Syura Ulama.
Dengan perkembangan tesebut, Khalid kini hanya mempunyai sokongan
daripada 12 ADUN Barisan Nasional (BN) dan empat Exco PAS yang masih
bersama beliau sehingga satu keputusan muktamad diperoleh setelah Sultan
Selangor pulang ke tanah air pada 27 Ogos ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan