MALAYSIAKINI
Sekumpulan NGO hak asasi wanita akan menganjurkan kempen
termasuk aktiviti nyalaan lilin di seluruh negara bagi meningkatkan
kesedaran orang awam mengenai jenayah rogol dan keganasan seksual.
Kempen 'Hentikan Rogol: Aku Kisah!' anjuran NGO Citizens Against Rape
akan mengajak semua pihak termasuk pihak berkuasa dan masyarakat
bersama-sama bertanggungjawab mencegah jenayah itu yang dianggap semakin
menjadi-jadi seperti yang dilapor media.
Program yang bermula di empat bandar utama itu, turut disokong beberapa
NGO wanita antaranya All Women’s Action Society (AWAM), Women’s Aid
Organisation (WAO), Perak Women for Women Society (PWW) dan Sabah
Women’s Action Resource Group (SAWO).
Pada 22 Ogos ini, aktiviti seperti berkumpul, berjalan dan tarian 1
Billion Rising diadakan di Medan Stesen Keretapi Ipoh mulai jam 5
petang.
Sementara keesokannya pula, bermula jam 7.45 malam, akan diadakan majlis
ucapan dan teater jalanan di pusat membeli belah SOGO, di Jalan Tuanku
Abdul Rahman di ibu negara sebelum perarakan ke Dataran Merdeka bagi
aktiviti nyalaan lilin.
Pada tarikh yang sama juga aktiviti yang sama diadakan di kawasan
Marudi, Sarawak yang dijadual pada jam 4 petang dan di Sutera Harbour
Resort, di Kota Kinabalu, Sabah pada jam 5 petang.
"Kami berhasrat untuk meningkatkan kesedaran orang awam bahawasanya
jenayah rogol dan keganasan seksual adalah TIDAK boleh diterima; dan
demi menuntut akauntabiliti pihak kerajaan untuk menangani jenayah rogol
dan keganasan seksual secara efektif," kata kenyataan kumpulan itu
semalam.
Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Penolong Pengarah Program Lee Wei
San pula berkata pihaknya amat berharap semua pihak memberi sokongan
terhadap usaha yang mereka lakukan demi menangani jenayah itu.
"Kempen ini (diharap) akan berhasil sekiranya semua pihak memberi
sokongan dan tidak mustahil jenayah rogol di negara ini dapat
dibanteras.
"Selain daripada mengadakan kempen, pihak kami juga ada memberikan
khidmat kaunseling secara percuma kepada mangsa rogol," katanya.
Lee yang juga aktivis NGO AWAM berkata program dan aktiviti yang
dirancang itu terbuka kepada orang ramai dana pihak sedang merancang
program itu di tempat-tempat lain juga pada masa akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan