SHAH ALAM - Teguran terbuka bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam paparan
terbaru blognya, chedet.cc kelmarin dilihat sebagai seorang bapa menegur
anaknya kerana beliau masih mengambil berat tentang hal-hal negara.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob berkata, kepimpinan hari ini menghormati perdana menteri ke empat
itu sebagai seorang bapa, namun sebaiknya teguran kepada anak itu tidak
dibuat secara terbuka dan bukan di khalayak ramai.
"Sebagai menteri, saya merasakan kadangkala Tun mungkin membuat tafsiran yang kurang tepat terhadap perdana menteri kita.
"Saya berharap Tun memberi ruang dan peluang untuk Najib mengemudi
kerajaan dengan caranya yang tersendiri dan percaya Najib sentiasa
terbuka dengan pandangan pelbagai pihak dan mengambil berat setiap
kritikan, terutama daripada tokoh negara seperti Tun sendiri," katanya
kepada Sinar Harian.
Dr Mahathir antara lain dalam artikel terbaru di blognya berjudul
'Menegur' mendakwa, kerajaan pada hari ini menggunakan wang untuk
mempengaruhi sokongan rakyat pada musim pilihan raya sehingga menjadikan
rakyat terlalu bergantung pada kerajaan.
Namun menurut Ismail Sabri, melalui dasar pemberian Bantuan Rakyat
1Malaysia (BR1M), ia menunjukkan keprihatinan Najib kepada permasalahan
rakyat ketika kos sara hidup menjadi isu yang membara di Malaysia dan
juga di seluruh dunia.
"Seperti Tun juga, menyumbang bakti sebagai ketua kerajaan dahulu
(1981-2003), memang beliau mempunyai cara tersendiri untuk menangani
implikasi isu kos sara hidup, tetapi mungkin persekitaran dan betapa
mudaratnya isu tersebut ketika itu tidak sehingga memerlukan pendekatan
seperti yang Najib perkenalkan sekarang.
"Malahan tuduhan BR1M membazir duit negara adalah persepsi yang salah.
BR1M sebenarnya merupakan cara baru pembayaran subsidi kepada yang lebih
layak dan kumpulan sasar yang tepat apabila subsidi minyak dikurangkan,
penjimatan dari subsidi digunakan untuk pemberian itu," katanya.
Katanya, ini merupakan langkah bijak Najib dalam memastikan
kesejahteraan rakyat tidak terjejas sekali gus mengurangkan defisit
negara.
"Tidak mungkin dasar ini silap, sedangkan Malaysia telah mencapai kadar
pertumbuhan 6.4 peratus untuk suku tahun kedua 2014 dan merupakan
pencapaian pertumbuhan terbaik di kalangan negara Asean.
"Setiap Perdana Menteri mempunyai gaya kepimpinan tersendiri dan secara
peribadi mereka mempunyai isu-isu rakyat yang rapat dengan hati
masing-masing," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan