MALAYSIAKINI
Enam anggota polis yang terbunuh dalam serangan hendap di
Semporna pada 2 Mac tahun lepas ditemui dalam keadaan mengerikan,
Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu diberitahu semalam.
Pegawai Penyiasat Insp Jamirin Kintai, antara anggota pasukan yang
bertanggungjawab mengeluarkan mayat anggota polis berkenaan dari Kampung
Simunul, Semporna pada 6.45 petang pada 3 Mac tahun lepas, berkata dua
daripada mangsa telah dipenggal dan dicacatkan.
"Sarjan Baharin Hamid dicacatkan dengan otak dan mata kanan hilang daripada tengkorak dan terdapat kelaran pada mukanya.
"Leher Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran pula telah dipenggal dan terdapat
luka pada badan, kulit dan dagingnya. Mukanya telah dikoyakkan dan
hanya kelihatan tulang muka," katanya.
Jamirin juga memberitahu mahkamah bahawa leher Lans Koperal Salam
Togiran "hampir putus dengan kepalanya hanya melekat pada tubuhnya oleh
beberapa inci kulit pada lehernya."
Kesan kelaran terdapat pada kepala dan badan Sarjan Abdul Aziz Sakiran
dan Superintenden Ibrahim Lebar, manakala ASP Michael Padel mengalami
kecederaan pada bahu dan dada, katanya.
Semasa pemeriksaan balas, Jamirin berkata beliau mendapati insiden
melibatkan enam anggota polis itu ada kaitan dengan pencerobohan oleh
kumpulan lelaki bersenjata Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu, pada
Februari tahun lepas.
Sementara itu, Pegawai Cawangan Khas Bukit Aman ASP Mohamad Hasnal Jamil
memberitahu mahkamah bahawa tiga daripada tertuduh telah dinamakan
dalam pintasan komunikasi dilakukan di Bukit Aman dari 14-17 Februari
tahun lepas berhubung pencerobohan di Lahad Datu.
Beliau mengenal pasti tertuduh berkenaan sebagai Salib Akhmad Emali, Julham Rashid dan Al Wazir Osman alias Abdul.
Katanya lapan nombor telefon bimbit telah dipintas, dengan tiga nombor
iaitu 019-5398122 digunakan Salib Akhmad; 012-8384472 digunakan Julham
dan 014-6774272 digunakan individu dikenali sebagai 'Imam Tua' dan
kemudiannya dikenal pasti sebagai Al Wazir, adalah paling aktif
berkomunikasi dengan satu lagi nombor 014-2847213, digunakan oleh
seseorang dikenali Raja Muda Agbimuddin.
"Bagaimana anda tahu nama-nama individu ini?" soal Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Wahab Mohamed.
Mohamad Hasnal: "Kami telah memantau komunikasi pengguna nombor berkenaan dan nama mereka disebut."
Pegawai Cawangan Khas itu memberitahu mahkamah beliau telah diarahkan
oleh Allahyarham Ibrahim untuk terbang ke Lahad Datu pada 18 Feb tahun
lepas untuk menjalankan tugas pengawasan terhadap tiga individu itu
selama seminggu bermula 19 Februari.
Katanya pada 25 Februari tahun lepas, beliau memberi taklimat kepada
pegawai polis ASP Noraidin Awang Maidin, di Balai Polis Tungku di Lahad
Datu untuk menahan Salib Akhmad di Ladang Kelapa Sawit Abadi Emas di
Tungku.
Pada 1 Mac tahun lepas, katanya beliau memberikan maklumat berkaitan di
Balai Polis Semporna untuk menahan Julham di Kampung Pangkalan Badai,
Kunak dan Al Wazir di Semporna.
Salib Akhmad, Julham dan Al Wazir menghadapi pertuduhan melancarkan
perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, yang membawa hukuman mati atau
penjara seumur hidup dan menjadi anggota kumpulan pengganas yang membawa
hukuman penjara seumur hidup dan denda, jika sabit kesalahan.
Salib Akhmad juga menghadapi pertuduhan merekrut anggota untuk kumpulan pengganas.
Mereka merupakan antara 30 tertuduh, terdiri daripada 27 warga Filipina
dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan bagi pelbagai tuduhan termasuk
menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang
di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara
sukarela melindungi individu yang mereka tahu menjadi anggota kumpulan
pengganas.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.
Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan