Roketkini.com
KUALA LUMPUR, Berikutan desakan orang ramai termasuk Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Wira Azhar Abdul Hamid hari ini mengumumkan perletakan jawatan dengan serta merta.
Perletakan jawatan itu dibuat susulan kejadian runtuhan konkrit landasan MRT sehingga meragut tiga nyawa pekerja awal pagi ini.
Namun, menurut Tan bukan Wira Azhar sahaja yang perlu
meletakkan jawatan tetapi tanggungjawab itu juga perlu dipikul bersama
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid
Albar.
Katanya Syed Hamid wajar meletakkan jawatan kerana gagal
menyelia perjalanan projek hingga menyebabkan kemalangan berlaku dan
membahayakan keselamatan awam.
“Adakah pihak berkuasa dan kontraktor telah mengambil
langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya bagi memastikan kemalangan
sedemikian tidak lagi berulang?
“Memang sukar untuk mencegah kemalangan, namun kejadian
runtuhan yang berlaku menjadi petunjuk bahawa terdapat kelalaian dalam
langkah keselamatan,” kata pemangku Pengerusi DAP Kebangsaan itu dalam
satu kenyataan.
Menurut Kok Wai, kemalangan runtuhan konkrit seberat 300 tan yang membunuh tiga pekerja asing pagi ini tidak sepatutnya berlaku.
Tan yang juga Pengerusi DAP Kuala Lumpur menggesa pihak
berkuasa menyiasat punca kejadian dan mencadangkan piawaian keselamatan
yang lebih tegas demi keselamatan pekerja dan orang awam.
Sebelum ini satu kejadian serupa berlaku pada 26 Jun lalu
menyebabkan dua pemandu kereta cedera apabila kenderaan dinaiki mereka
dihempap batang besi yang jatuh dari binaan Projek Transit Aliran Massa
(MRT) dalam kejadian di Jalan Lapangan Terbang Subang.
“Pihak berkuasa perlu membuat penilaian semula terhadap
semua kontraktor untuk memastikan mereka mematuhi prosedur kerja
pembinaan, memandangkan kejadian ini bukan kali pertama berlaku.
“Semua pihak mesti bertanggungjawab terhadap keselamatan
tapak pembinaan termasuk pihak berkuasa yang telah memberikan kelulusan
terhadap projek berkenaan,” ujarnya -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan