HALAMAN SANTAI

Rabu, 6 Ogos 2014

PEMBELA: Ingat kami bola ke, Gani?

MALAYSIAKINI


 


Peguam Negara Tan Sri Abd Gani Patail hari ini terus diasak kumpulan NGO Melayu selepas didakwa mengamalkan pendakwaan terpilih dalam isu penghinaan terhadap agama Islam, raja-raja Melayu dan perlembagaan persekutuan.

Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) hari ini tampil menyelar jawapan Gani yang dilapor meminta perkara itu dirujuk kepada pihak polis.

“Bila jumpa ketua polis, dia minta tanya peguam negara, sekarang peguam negara pula suruh tanya polis, ingat bola ke nak tolak sana tolak sini ,” Pengerusi PEMBELA Mohamed Hafiz Mohamed Nordin dipetik sebagai berkata oleh ISMAweb.

Laman rasmi NGO lantang Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) itu juga melaporkan Hafiz sebagai berkata, dalam pertemuannya dengan Tan Sri Khalid Abu Bakar (kanan) pada 24 Julai lalu, ketua polis negara sendiri memaklumkan bahawa semua hasil laporan mereka telah dibawa untuk tindakan lanjut Pejabat Peguam Negara.

“Tetapi hari ini bagaimana pula peguam negara boleh meminta untuk bertanyakan pihak polis?

“Adakah ketua polis negara berbohong atau peguam negara yang tidak mahu mendakwa pihak yang bersalah?

“Atau mungkin lebih tepat mereka mempunyai agenda tersendiri yang sedang dilindungi,” beliau dipetik sebagai berkata ketika dihubungi ISMAweb.

Gani: Lebih baik tanya polis

Sinar Harian hari ini melaporkan Gani sebagai berkata “lebih baik tanya polis!" ketika ditanya mengenai kenyataan beberapa pihak terutama Pemuda Umno yang mempersoalkan sikap berdiam dirinya berhubung kes itu.

Organisasi media itu melaporkan, jawapan ringkas itu diberi setelah beberapa kali panggilan kepadanya tidak dijawab.

"Saya tidak akan cakap apa-apa lagi, lebih baik awak tanya polis," beliau dipetik sebagai berkata sebelum meletakkan telefon.

Semalam, beberapa pemimpin Pemuda Umno dalam kenyataan kepada harian itu mempersoal sikap Gani yang didakwa mencetuskan keresahan dan tanda tanya hingga menimbulkan tanggapan seolah-olah berlaku pilih bulu dalam pendakwaan kes seumpama itu.

Ini berikutan tindakan segera yang diambil bagi kes melibatkan pelaku Melayu-Islam sebaliknya kes membabitkan bukan golongan itu tidak pula didakwa.

Sinar juga melaporkan, usaha mendapatkan kenyataan Khalid tidak berjaya kerana beliau difahamkan berada di luar negara.

ISMA sendiri semalam meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Gani dan Khalid selepas didakwa gagal bertindak terhadap kes menghina agama atau kaum seperti didedahkan media.

Tiada ulasan: