Ahmad Zahid Hamidi


BANGI - Seseorang pemimpin yang telah dipilih rakyat harus dihormati termasuk oleh bekas pemimpin, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata setiap pemimpin juga mempunyai era masing-masing yang menjadikan setiap pemimpin berada pada zamannya sendiri.

"Seorang pemimpin yang dipilih rakyat perlu dihormati oleh semua rakyat termasuk bekas pemimpin," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Pertauliahan ‎dan Perhimpunan Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (Sispa) di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN : Mahathir tarik balik sokongan terhadap Najib]

Beliau mengulas pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam laman blog 'Chedet' semalam yang secara terbuka menegur cara kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta membandingkannya dengan bekas Perdana Menteri sebelum ini Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun, katanya Dr Mahathir mempunyai hak untuk memberi pandangan namun Najib berhak menuntut kesetiaan daripada rakyatnya kerana telah diberikan mandat untuk mentadbir negara.

"Najib sudah melakukan terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat dan terpaksa berdepan dengan cabaran arus kebangkitan media sosial," katanya dan menurutnya kepimpinan Najib sesuai dengan zaman media sosial.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata, di peringkat akar umbi juga tiada gesaan untuk Najib melepaskan jawatannya seperti yang didakwa sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Menteri itu berkata beliau akan memohon peruntukan tambahan bagi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) untuk menambah anggotanya di peringkat institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
 
"Mulai tahun hadapan saya mengarahkan setiap institut pengajian tinggi awam mengeluarkan 100 anggota JPAM untuk ditauliahkan dan 50 anggota daripada institut pengajian tinggi swasta namun pada masa yang sama peruntukan tambahan diperlukan untuk latihan dan uniform," katanya.
 
Pada majlis itu, seramai 455 Sispa daripada 22 institusi pengajian tinggi ditauliahkan. - Bernama