HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 Ogos 2014

Pencerobohan Tapak Ramsar di Sabah Terkawal

RAKYATNEWS


alt
 


SANDAKAN - Pencerobohan Kawasan Ramsar di Tanah Lembab Hilir Kinabatangan-Segama membabitkan pengambilan kulit kayu tangar spesis kayu bakau telah berjaya dikawal.

Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah Datuk Sam Mannan berkata, ianya merupakan hasil kerjasama jabatan itu dengan agensi penguatkuasa dan keselamatan dalam melaksanakan operasi bersepadu menangani pencerobohan yang dilakukan warga asing dari Filipina.

"Kawasan Tanah Lembab Hilir Kinabatangan-Segama, satu-satunya tapak Ramsar di Sabah kini dilindungi sepenuhnya daripada aktiviti pencerobohan mengambil kulit kayu tangar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Kursus Latihan Kit Ramsar CEPA di sini hari ini.

Kursus tiga hari berakhir hari ini disertai 23 peserta membabitkan komuniti tinggal berhampiran tapak Ramsar, pertubuhan bukan kerajaan, pengusaha pelancongan dan petugas Jabatan Perhutanan Sabah.

Ia mendedahkan peserta kepada cara efektif menjalankan aktiviti konservasi, pendidikan dan kesedaran penduduk tempatan di tapak Ramsar.

Beliau berkata perintah berkurung yang dikuatkuasakan di kawasan perairan timur Sabah, juga dapat membantu usaha melindungi kawasan hutan simpan bakau daripada pencerobohan pendatang asing tanpa izin.

Terdahulu, dalam ucapannya, Sam berkata tapak Ramsar di negeri meliputi lebih 78,800 hektar kawasan hutan bakau dan paya gambut di pantai timur Sabah adalah yang terbesar berbanding lima lagi tapak Ramsar yang ada di negara ini.

Katanya tapak Ramsar di negeri ini yang diliputi paya bakau penting sebagai penampan angin dan ombak, kawasan tadahan air, penstabil pinggir sungai dan kawasan hidupan liar terancam.

Menurutnya kawasan itu juga penting dalam industri perikanan sebagai tempat pembiakan serta perlindungan anak ikan, udang, ketam dan hidupan laut lain.

Tiada ulasan: