KUALA LUMPUR: Wakil rakyat PAS Saari Sungib menjelaskan, kehadirannya
pada sidang media bersama Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini
bukan untuk menyokong presiden PKR itu sebagai menteri besar Selangor,
sebaliknya bertujuan menolak Tan Sri Khalid Ibrahim.
Bagaimanapun, kata ADUN Hulu Kelang itu, beliau menandatangani akuan
berkanun (SD) yang antaranya menyokong Azizah kerana ia sudah didraf
awal sedemikian rupa.
"Objektifnya ialah nak nafikan dakwaan Tan Sri Khalid yang mengatakan
beliau ada (sokongan) majoriti (ADUN). (Bagaimanapun) sifat
undang-undang SD itu berbentuk begitu, iaitu menarik sokongan dari Tan
Sri Khalid dan sokong Wan Azizah.
"Bagi saya, Wan Azizah atau tidak, yang penting saya nak cukupkan 30
ADUN (yang tolak Khalid) itu. Oleh kerana (ADUN) DAP dan PKR (sahaja)
tak cukup, jadi saya masuk," katanya.
Saari sebelum ini hadir dalam sidang media itu bersama seorang lagi
ADUN PAS Hasnul Baharuddin (Morib), yang menyebabkan disiasat parti
Islam itu kerana membuat pendirian sebelum jawatankuasa pusat PAS
bermesyuarat.
Majlis Syura, Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul AM PAS
Datuk Nik Aziz Nik Mat sebelum ini menyokong Khalid kerana tidak nampak
keperluan beliau ditukar.
Keputusan itu bagaimanapun berubah selepas mesyuarat jawatankuasa
pusatnya 17 Ogos lalu dan selepas PKR memecat Khalid. PAS kemudian
menerima pencalonan Azizah di samping mencalonkan Timbalan Presiden PKR
Azmin Ali.
Tindakan terhadap Saari dan Hasnul kini dilapor ditangguhkan sehingga menunggu kemelut pentadbiran negeri itu selesai.
Sementara itu, terdapat beberapa ahli jawatankuasa (AJK) pusat PAS yang
tidak melihat tindakan Saari dan Hasnul sebagai salah secara
keseluruhannya atau berniat jahat.
Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa antaranya berpendapat tindakan mereka
berdua minggu lalu bertujuan mengukuhkan Pakatan negeri walaupun
tindakan itu “mungkin betul dan mungkin tidak”.
"Saya tak nyatakan mereka salah atau betul. Saya cuma nak gambarkan
betapa sukarnya waktu itu untuk membuat perkiraan demi mengukuhkan
Pakatan di peringkat ADUN,” katanya.
"Tetapi itu pun tidak boleh dianggap salah kerana keputusan besarnya
ialah bersama (Pakatan). Cuma, cara bagaimana di peringkat ADUN ini
bertindak tidak ada pendekatan yang tuntas (menyeluruh).”
Sementara itu, seorang lagi AJK PAS Hanipa Maidin pula semalam berkata,
tindakan Saari dan Hasnul sedikit sebanyak membantu Pakatan keluar
daripada keadaan tidak menentu yang boleh mendorong sultan membubarkan
DUN.
Katanya, walaupun ada yang menganggap mereka “pengkhianat”, tidak
mustahil suatu hari nanti generasi akan datang menobatkan mereka sebagai
wira. - Malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan