HALAMAN SANTAI

Jumaat, 22 Ogos 2014

Tak perlu PRN, hanya sidang DUN boleh selesaikan isu MB - Kadir Jasin

Oleh Nurshakira Buang
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Krisis menteri besar Selangor tidak perlu berakhir dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan semula untuk menyelesaikan kemelut kepimpinan di Selangor, kata penganalisis politik Datuk A Kadir Jasin.
 
Sebaliknya, menurut Kadir Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu memanggil sidang tergempar bagi menguji sokongan majoriti di DUN.
 
"Dia ada dua peringkat, yang pertama mungkin berlaku dan yang kedua tak perlu berlaku. Yang akan berlaku ialah bila DUN bersidang semula undi percaya dan undi tak percaya, usul undi percaya dan tak percaya boleh dikemukakan. 
 
"Kalau Khalid mempunyai suara yang cukup pihak beliau boleh kemukakan undi percaya, dan kalau pihak yang mendakwa mereka mempunyai suara lebih banyak dari Khalid mereka juga boleh mengemukakan usul tak percaya pada Khalid.
 
"Undi percaya dan tidak percaya boleh dikemukakan tetapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak perlu diadakan, sebab mungkin Khalid seorang sahaja atau satu, dua orang sahaja yang akan keluar dari PR. PR mempunyai kelebihan suara yang sangat besar di Selangor," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama Antarapos.
 
'Krisis dalam DUN' 
 
Bagaimanapun, langkah itu bakal menyaksikan satu lagi krisis akan berlaku iaitu 'krisis dalam DUN' dimana Speaker, Hannah Yeoh terpaksa berebut untuk memilih usul siapa yang patut diterimanya.
 
Malah, Kadir menolak tanggapan sesetengah pihak yang menyatakan apa yang berlaku di Selangor kini sama seperti yang berlaku di Perak pada 2010.
 
"Situasi di Selangor tidak sama dengan di Perak kerana kekuatan di Perak pada 2009-2010 diantara PR dengan BN hampir sama dengan perbezaan dua,tiga kerusi sahaja. Tiga, empat orang berpaling tadah maka jatuhlah kerajaan itu.
 
"Di Selangor tidak kerana BN tertinggal jauh ke belakang," ujarnya.
 
Malah, ujar Kadir beliau sebagai pengundi dan pemilih di negeri itu sendiri secara peribadi tidak melihat perlunya diadakan pilihan raya negeri.
 
PKR jangan bebankan rakyat Selangor
 
Menurut Kadir, PKR tidak seharusnya membebani rakyat dengan segala kemelut yang dicipta parti itu demi kegilaan kuasa mereka untuk mentadbir negeri termaju dan terkaya di Malaysia ini.
 
"Yang berkrisis bukan pengundi, pengundi tidak pernah ada masalah. Ini adalah masalah dalaman PKR, yang patut menyelesaikan masalah adalah PKR bukan membebankan masalah dalaman PKR, bukan membebankan aspirasi dan kegilaan kuasa kepada rakyat.
 
"Kita tidak mahu ada precedence, tak perlu kita buat precedence di mana setiap kali parti berkrisis kerajaan tak jatuh tapi pilihan raya nak diadakan. Buat apa? Tak perlu," tegasnya.
 
Mengulas lanjut adakah Selangor akan kembali kepada Barisan Nasional (BN) jika Khalid memutuskan untuk bubar DUN, Kadir berkata adalah mustahil bagi Umno-BN tiba-tiba menjadi kuat dan mengalahkan kerajaan Pakatan di negeri ini. 
 
"Dan kalaupun diadakan PRN bolehkah dalam masa yang singkat ini Umno mengatasi masalah ini? Dan tiba-tiba menjadi begitu kuat sehingga boleh mengalahkan PR. Ingat Umno ada 12 kerusi saja, dalam DUN yang mempunyai 56 kerusi Umno ada 12 kerusi sahaja," jelasnya.
 
BN perlukan dua lagi PRU untuk rampas Selangor
 
Bagaimanapun, Kadir berkata Umno Selangor masih memerlukan dua pilihan raya umum lagi bagi merampas kembali negeri itu.
 
Itupun dengan syarat Umno Selangor perlu 'overhaul' atau baik pulih keseluruhan kepimpinan negeri itu secara besar-besaran.
 
"Umno mungkin memerlukan satu atau dua pilihan raya lagi untuk mendapatkan negeri ini itu pun kalau Umno Selangor bersedia membuat overhaul besar-besaran terhadap kepimpinan Umno Selangor," tegasnya.
 
Tambah beliau, Umno perlu memberi peluang kepada generasi muda sekiranya berjaya merampas semula untuk terajui Selangor 
 
"Tak akan negeri Selangor, negeri yang termaju di Malaysia tidak ada cukup jurutera yang boleh dibawa masuk jadi calon dan ahli Umno, tidakkah cukup doktor yang boleh dibawa masuk ahli dan calon Umno? 
 
"Tidakkan cukup bekas-bekas pentadbir awam yang bersara masuk menjadi calon Umno? Tidakkah ada orang korporat seperti Khalid Ibrahim masuk (Umno)? Tentu ada, cuma mahu dengan tidak sahaja," tambahnya.
 

Tiada ulasan: