HALAMAN SANTAI

Isnin, 23 Mei 2016

Choo Keong: Ada pihak ‘besar-besarkan cerita’

 
Pengerusi Pelancongan Malaysia nafi ‘mengamuk’ di Beijing, dan hanya mengarahkan papan iklan AirAsia dialihkan dari gerai pameran kerajaan.


ee-tony


PETALING JAYA: Pengerusi Pelancongan Malaysia Wee Choo Keong mendakwa ada pihak yang sengaja “membesar-besarkan” isu berkaitan laporan berita dimuat naik bos AirAsia Tan Sri Tony Fernandes di akaun Facebook miliknya pagi ini mengenai insiden di Beijing membabitkan bekas ahli Parlimen itu.

Tony memuat naik mesej menyatakan beliau tidak tahu mengapa Choo Keong memilih untuk “menyiksa” AirAsia selama bertahun-tahun.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Choo Keong menjelaskan satu-satunya isu beliau dengan AirAsia ialah hutang besar syarikat penerbangan itu dengan Malaysia Airports Holdings Berhad masih belum dijelaskan sejak bertahun lamanya.

Choo Keong berkata berhubung laporan berita Tony yang dimuat naik bersama mesej Facebook dengan tajuk; “Pengerusi Pelancongan Malaysia Wee Choo Keong mengamuk di Beijing”, apa yang berlaku di Ekspo Pelancongan Antarabangsa Beijing (BITE) pada 20 Mei itu tidak seperti dilaporkan.

Dalam laporan berita itu menyatakan Choo Keong menjerit dengan kuat kepada kakitangan mengarahkan untuk mengalihkan papan iklan AirAsia. Ia juga menuduh Choo Keong “merosakkan iklan” dan betapa dia membenci AirAsia dan mahu iklan syarikat itu dibuang.

Bagaimanapun, dalam kenyataannya, Choo Keong menceritakan versi kejadian yang berbeza.

Katanya, ketika tiba di pintu masuk gerai pameran Tourism Malaysian (TM) di Beijing, beliau nampak papan iklan AirAsia dan Genting berada di depan iklan TM.

“Saya cuma minta kakitangan tempatan kita mengemas dua papan iklan milik AirAsia dan Genting daripada pintu masuk kemudian dibawa ke belakang gerai,” katanya dan bertegas arahannya itu perlu kerana dua iklan itu menghalang kawasan di mana majlis pelancaran gerai TM akan diadakan kemudian.

“Saya menafikan saya rosakkan iklan itu seperti dituduh sesetengah pihak. Tuduhan liar ini paling jahat.”

Katanya:”Paling dikesalkan kerana ada pihak tertentu bersusah payah menjadikan ini isu peribadi dan mengungkit semula pendirian saya mengenai isu membabitkan AirAsia.”

Choo Keong berkata isu berkenaan membabitkan AirAsia sebagai syarikat penerbangan yang belum lagi menyelesaikan “hutang besar tertunggak” kepada MAHB dalam bentuk caj perkhidmatan penumpang, atau sebelum ini dikenali sebagai cukai lapangan terbang selain hutang lain.

Choo Keong berkata di sebalik hutang besar itu, Tony terus menunjukkan “semuanya dalam keadaan baik” dengan operasi perniagaannya dan syarikat tambang rendah itu sedang berkembang.

“Tony Fernandes boleh pastikan saya tidak akan membiarkan perkara peribadi menjejaskan penilaian saya dalam perkara membabitkan TM.

“Menjemput saya, ketika saya masih ahli Parlimen untuk melawat HQ AirAsia tidak akan membantu syarikat itu menjelaskan hutangnya dengan MAHB,” kata Choo Keong ketika mengulas kenyataan Tony bahawa pengerusi TM dijemput melawat AirAsia Allstars.

Choo Keong berkata jika Tony boleh beri jaminan AirAsia akan membayar hutang itu, MAHB boleh menyediakan kemudahan dan perkhidmatan yang lebih baik kepada penumpang.

Tiada ulasan: