DETIK DAILY
Diabetes atau lebih dikenali kencing manis, bukan lagi penyakit asing dalam kehidupan masyarakat masa kini
Malah boleh dikatakan kebanyakan daripada kita sudah sedia maklum mengenai penyakit yang berkait rapat dengan pengambilan karbohidrat (gula, nasi dan lain- lain) secara berlebihan mahupun amalan gaya hidup tidak sihat.
Biarpun demikian, agak menghairankan apabila masih ada majoriti besar masyarakat memandang ringan terhadap penyakit kronik itu.
Ini
dapat dilihat apabila statistik jumlah penghidap diabetes negara
menyaksikan peningkatan kepada 17.5 peratus pada 2015 berbanding 15.2
peratus pada 2011 dan 11.6 peratus (2006).
Keadaan
ini begitu membimbangkan. Apatah lagi apabila masih ada yang terus
selesa dan tidak mahu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala,
dan menjadi antara faktor yang menyebabkan ramai tidak tahu mereka
sebenarnya penghidap diabetes.
Kajian Kesihatan
dan Morbiditi Kebangsaan Malaysia 2015, mendapati 1.8 juta daripada 3.5
juta individu dewasa yang menghidap diabetes di negara ini tidak
mengetahui mereka mempunyai penyakit itu.
Bahaya
"Laporan
kesihatan menunjukkan golongan muda berusia antara 18 hingga 30 tahun
yang menghidap diabetes semakin meningkat. Keadaan ini menggusarkan
kerana kebanyakan mereka tidak tahu ada diabetes.
"Ini
kerana, mereka akan mengambil makanan ikut suka hati ditambah pula
dengan gaya hidup tidak aktif yang diamalkan sekarang ini. Apabila
lambat mengesan penyakit dan mendapatkan rawatan, diabetes akan
mendedahkan mereka kepada pelbagai komplikasi.
"Antara
risiko utama penyakit ini adalah penyakit jantung koronari, angin
ahmar, kerosakan organ seperti buah pinggang, buta penglihatan dan
kehilangan kaki," kata Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik
Malaysia (MEMS) Prof Dr Nor Azmi Kamaruddin.
Diabetes
atau penyakit yang kerap kali disifatkan sebagai pembunuh senyap ini
adalah keadaan di mana paras gula/glukos di dalam darah seseorang itu
melebihi tahap normal berikutan kegagalan kelenjar pankreas untuk
mengeluarkan hormon insulin yang secukupnya.
Tidak
boleh dipandang ringan, kehadiran insulin ini amat penting kerana ia
akan menyalur setiap makanan yang telah diproses menjadi glukos ke dalam
sel-sel badan bagi mengeluarkan tenaga.
Bagaimanapun,
bagi pesakit diabetes, organ pankreas mereka tidak dapat mengeluarkan
insulin secukupnya ataupun jumlah insulin yang dikeluarkan itu kurang
berkesan.
Keadaan tersebut membuatkan glukos
tidak dapat masuk ke dalam sel badan, sekali gus terkumpul di dalam
darah yang kemudian menyebabkan parasnya meningkat tinggi sehingga
melimpah ke dalam air kencing, yang mana ia dikenali sebagai diabetes.
Serangan jantung
"Terdapat
dua jenis diabetes. Jenis pertama, kerosakan pankreas daripada mula
lagi menyebabkan ketiadaan langsung hormon insulin dalam badan. Manakala
jenis kedua, badan tidak mengeluarkan hormon insulin secukupnya untuk
mengawal paras gula dalam darah.
"Di Malaysia,
diabetes jenis kedua paling ramai iaitu merangkumi 98 hingga 99 peratus
daripada jumlah pesakit diabetes," ujar Prof Dr Nor Azmi yang juga Pakar
Perunding Perubatan Diabetes dan Endokrinologi di Pusat Perubatan
Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Menjelaskan
lebih lanjut, beliau berkata peningkatan taraf glukos di dalam saluran
darah yang tidak terkawal boleh mendedahkan pesakit dengan pelbagai
masalah kesihatan sepanjang hayat.
Bahkan,
paling menakutkan apabila ia boleh mengakibatkan maut dalam bentuk
serangan penyakit jantung koronari sekiranya melengah-lengahkan rawatan!
Di
peringkat global, diabetes menjadi satu daripada faktor utama penyakit
kardiovaskular yang adalah punca utama kematian di serata dunia
terutamanya dalam kalangan negara membangun.
Manakala
di Malaysia, 35 peratus punca kematian adalah disebabkan penyakit
kardiovaskular yang mana hampir 69 peratus daripada mereka mempunyai
diabetes.
Ujian mudah
Justeru,
segala simptom berkaitan dengan kencing manis seperti letih, kerap
kencing terutama waktu malam, sentiasa rasa dahaga perlu diberi
perhatian serius.
Apatah lagi, Malaysia berada
di tangga pertama di rantau Asia Tenggara sebagai negara yang mempunyai
peratusan paling tinggi pesakit diabetes.
Memandang
berat senario berkenaan, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan
sentiasa berusaha mengukuhkan perkhidmatan rawatan pesakit diabetes di
Malaysia.
Ini termasuklah melancarkan 'Clinical
Practice Guideline Management of Type-2 Diabetes Mellitus' Edisi
ke-lima semasa Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2016 peringkat kebangsaan
baru-baru ini.
Ia adalah garis panduan amalan
klinikal rawatan penyakit diabetes dan paling menarik ujian mudah
mengesan penyakit itu yang dikenali sebagai A1c turut diperkenalkan.
"Dokumen
ini akan menjadi dokumen rasmi yang dapat memberi panduan kepada
anggota kesihatan sama ada dari pihak kerajaan, swasta, mahupun
universiti bukan sahaja untuk memberi perawatan terbaik dan berkesan
kepada pesakit diabetes.
"Malah, untuk
menjalankan saringan dan pencegahan yang berkesan di peringkat kesihatan
primer," kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam semasa
berucap merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2016 peringkat
kebangsaan baru-baru ini.
Teks ucapannya
dibacakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.
Bagi tahun ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memilih slogan
Tumpaskan Diabetes: "Tingkatkan Pencegahan, Kukuhkan Rawatan dan
Mantapkan Saringan" sebagai tema sambutan Hari Kesihatan Sedunia tahun
ini.
Lagi tepat
Mengulas
mengenai ujian mudah diabetes, Prof Dr Nor Azmi berkata mengesan
penyakit itu sebelum ini agak sukar kerana memerlukan seseorang itu
berpuasa selama lapan jam sebelum menjalani ujian darah glukos.
"Selain
berpuasa lapan jam untuk memeriksa tahap glukos di dalam darah, ada
dalam keadaan tertentu memerlukan mereka mengambil minuman yang
mengandungi 75 gram glukos di dalam cawan 300ml.
"Ia,
perlu dihabiskan dalam tempoh masa tiga hingga lima minit. Kemudian,
mereka tidak boleh balik atau berjalan ke sana ke mari kerana itu akan
memberi kesan kepada tahap glukos di dalam badan.
"Sebaliknya,
perlu duduk diam-diam dalam tempoh dua jam dan selepas itu baharu ambil
lagi satu ujian darah glukos. Tidak ramai yang sanggup menjalani ujian
yang rumit dan berperingkat-peringkat ini," katanya.
Berbanding
penggunaan ujian darah A1c, diabetes dapat dikesan dengan lebih tepat,
mudah serta tidak memerlukan mereka berpuasa ataupun meminum air glukos.
Malah,
keputusannya pun cepat dalam masa dua jam dan ini diharap dapat menarik
minat 1.8 juta daripada 3.5 juta pesakit diabetes di negara ini yang
tidak tahu mereka ada penyakit itu untuk tampil membuat pemeriksaan.
"Ujian
glukos di dalam darah yang digunakan untuk mengesan diabetes sebelum
ini hanya mengukur tahap glukos dalam saluran darah yang hanya
mencerminkan tahap glukos pada sesuatu ketika sahaja.
"Berbanding
A1c, ujian ini akan mengukur purata tahap glukos di dalam sel-sel darah
merah yang mempunyai jangka hayat selama tiga hingga empat bulan dan
keputusannya lebih tepat," katanya.
Pertama di Asia
Justeru,
dengan termaktubnya A1c sebagai antara satu ujian darah mengesan
diabetis di negara ini, ia telah meletakkan Malaysia sebagai negara
pertama di benua Asia yang berbuat demikian.
Sebelum
ini, hanya Amerika Syarikat, Eropah dan New Zealand sahaja yang
mengguna ujian A1c sebagai satu kaedah mendiagnosis diabetis.
Manakala
negara Jepun, hanya membenarkan penggunaan ujian A1c jika ia disertakan
serentak dengan ujian glukos selepas lapan jam berpuasa dan selepas
minum 75 gram glukos, bukan bersendirian dan berasingan.
Untuk
makluman, perkhidmatan ujian darah A1c ini sudah boleh diperoleh di
mana-mana hospital dan klinik kesihatan kerajaan dan swasta.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan