KEPALA BATAS: Majlis Bersama Pemimpin, Deklarasi Mahathir gagal meraih
sambutan di sini malam tadi apabila kurang dari 1,000 orang hadir di
Dewan Millenium di sini.
Dihadiri hampir kesemua barisan pemimpin Pakatan Pembangkang, majlis
itu dianjurkan untuk mendapat tandatangan rakyat menyokong deklarasi
yang bertujuan menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tun Dr Mahathir Mohamad yang ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah
Mohamad Ali tiba di Dewan Millenium pada jam 9.45 malam dan apabila
beliau mula berucap kira-kira jam 11.15 malam, kebanyakan hadirin
dilihat mula keluar dari dewan.
Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu berkata deklarasi itu telah
mendapat sambutan yang agak baik dari kalangan rakyat sejak ia
dilancarkan dan beliau yakin ia akan mencapai angka tandatangan yang
disasarkan.
Katanya, beliau akan menetapkan satu tarikh untuk menyerahkan deklarasi
itu kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
"Setakat ini, kami telah mendapat satu juta tandatangan rakyat yang
menyokong deklarasi ini dan satu tarikh khas akan ditentukan kelak untuk
deklarasi ini diserah kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya ketika
ditemui pemberita selepas ucapannya di sini malam tadi.
Antara yang hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim
Guan Eng; Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali; presiden Parti
Amanah Rakyat Mohamad Sabu; bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Sanusi
Junid; Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Mansor Othman dan Anggota
Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar.
Sementara itu, mengenai pilihan raya negeri Sarawak, Mohamad Sabu
mengakui pertindihan kerusi merupakan kelemahan pakatan pembangkang pada
pilihan raya negeri itu.
DAP dan PKR bertembung sesama sendiri di enam kerusi pada pilihan raya
negeri kali ini iaitu di Batu Kitang, Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah
dan Mambong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan