Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN]
Yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran. Begitulah nasib
parti-parti politik yang berasal dari Semenanjung Malaysia dalam
Pilihanraya Negeri Sarawak (PRN) ke-11 yang berakhir malam Ahad lalu.
Tidak kira yang dihadapi ialah sendi, kudrat dan pegangan politik
anak-anak Sarawak yang mahu dipimpin oleh parti-parti yang bertunjangkan
patriotisme Sarawak, parti-parti Semenanjung ini yakin rekod Pilihan
raya Umum (PRU) 2008 dan 2013 akan menjamin kemenangan lumayan untuk
mereka.
Hatta, walaupun yang merintangi jalan politik mereka ialah rakan sendiri, ia akan diratah begitu sahaja.
Demikian anggapan DAP terhadap PKR dan sebaliknya. Masing-masing yakin
hati pengundi Sarawak akan kagum dan terpaut pada parti mereka.
Begitu juga sikap PAN yang menyaksikan PAS sebagai 'kuda tua' yang
harus ditembak mati bagi mengurangkan kesengsaraan politiknya.
PAN menganggap PRN Sarawak adalah batu loncatan baginya menjadi parti nasional Islam, demokratik dan liberal.
Sementara PKR pula mahu terus menjadi 'abang besar' dan bertanding 40
kerusi bagi menyaingi Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB).
Justeru mereka bersilang senjata politik di enam daripada 82 kerusi yang dipertaruhkan.
Sementara sahabat baik DAP iaitu PAN pula mahu menggemparkan dunia
politik Malaysia dengan bertanding di 13 kerusi berbanding dengan 'abang
tirinya' PAS yang hanya meletakkan calon di 11 kerusi.
Akhirnya, PAN dan PAS tidak menang sebuah kerusipun kecuali berjaya
meruncingkan lagi persaingan di antara mereka di kawasan-kawasan undi
Melayu-Islam di Sarawak.
Persaingan dan kebencian di antara mereka kini mula merebak di Sarawak.
Kecundang kerana ego
DAP yang mendakwa culaan dan kaji selidiknya menunjukkan ia akan boleh
menang di lima kawasan undi – Murum, Mulu, Simanggang, Mambong dan
Ngemah dan tidak mahu PKR bertanding di kawasan-kawasan berkenaan,
gagal memenangi walau satu pun.
Sebuah lagi kerusi kompromi asalnya – Batu Kitang – terlepas dari
impian kedua-dua parti yang semakin longgar tali persahabatan mereka.
Meskipun PKR berhasil mempertahankan Ba’kelalan, Krian dan Batu
Lintang, DAP hilang lima kerusi – Batu Kawah, Dudong, Meradong, Piasau
dan Repok yang dimenanginya pada PRN 2011.
PAS dengan mesej Islam universalnya masih kempunan untuk mencatat
kemenangan kerusi DUN sulungnya di Sarawak walaupun sebelum ini berasa
amat positif akan mencapai matlamat itu kali ini.
PAS bertanding 11 kerusi dan pulang dengan tangan kosong dan calar
politik yang dikenakan oleh bekas-bekas anak didiknya dalam PAN yang
kini berasa sudah cukup ilmu untuk merebahkan sifu politik mereka.
PAN pula masuk gelanggang dengan semangat berkobar-kobar akan
membuktikan ia adalah parti Islam yang lebih Islami dan amanah
berbanding PAS.
Namun keghairahan itu berakhir dengan kehampaan politik yang sama.
Antara faktor yang menyebabkan parti-parti Semenanjung ini kecundang
ialah soal ego. Masing-masing membuat telahan politik Sarawak menjejaki
citarasa politik Semenanjung.
Ukur baju di badan sendiri
Untuk beberapa bulan kebelakangan ini pembangkang berasa ia sudah berjaya 'menekan Umno-BN' di peringkat nasional.
Mereka memandang rendah cara penilaian dan skima keutamaan politik rakyat Sarawak.
Ketika Tan Sri Adenan Satem berusaha keras mengukuhkan perpaduan BN di
kalangan komponennya, parti-parti pembangkang Semenanjung masuk Bumi
Kenyalang taksub dengan rekod politik mereka di peringkat nasional.
Ini adalah PRN pertama pimpinan Adenan. Sejak dua tahun lalu beliau amat fokus terhadap isu-isu kepentingan Sarawak.
Soal pendidikan dan pembangunan infrastruktur menjadi keutamaannya. Rakyat Sarawak menyokong pendirian politiknya itu.
Namun DAP dan PKR masuk Sarawak dengan mendabik dada bahawa
masing-masing adalah 'lebih baik' daripada saingannya. Ini menjengkelkan
rakyat Sarawak.
Masalah Semenanjung jangan dibawa ke Bumi Kenyalang.
Isu nasional adalah tanggungjawab kerajaan pusat untuk tangani.
Bagaimanapun isu Sarawak paling afdhal diselesaikan oleh anak Sarawak.
Pada PRN ke-10 lima tahun lalu rakyat Sarawak gusar dengan integriti
pimpinan negeri.
Kini ia dapat Ketua Menteri baru dan beliau berjiwa Sarawak. Parti-parti Semenanjung tidak diperlukan.
Baik DAP, PKR mahupun PAN yang membentuk Pakatan Harapan perlulah sedar
yang harapan yang diberikan kepada rakyat Sarawak adalah satu
fatamorgana politik.
Bak ayam galak berkokok tetapi ekor berlumur tahi. Rakyat Sarawak bijak membaca hakikat itu.
Ternyata DAP dan PKR tidak jujur dalam perkataan dan perbuatan.
Mungkin PAN menganggap ia perkara kecil tetapi sikap tamak haloba yang
ditunjukkan tanpa segan silu di Sarawak menyerlahkan kedua-duanya,
termasuk Pakatan Harapan, kurang integriti.
Kecundangnya PAS di Sarawak harus menginsafkannya supaya bermuhasabah
apa yang tidak kena dengan uslub dan fiqhud dakwahnya di Sarawak.
PAS berjanji ia akan istiqamah sampai kemenangannya. Soalnya
beristiqamah tentang apa – ternyata maslahat dakwahnya kurang berkesan.
Ternyata pengundi Sarawak adalah kelompok yang boleh berfikir dan bijak
menggunakan hak mereka. Pada 2011 pengundi Cina memberi peluang kepada
DAP untuk memperjuangkan nasib mereka. Namun prestasi khidmat DAP kurang
berkesan.
Kini pengundi-pengundi bandar, terutama Cina, meragut kembali lima
kerusi yang dipinjamkan kepada DAP kerana ragu urustadbir BN pada PRN ke
10 lalu, kurang memuaskan.
Namun keadaan kini berubah orang Sarawak lebih sayang
budaya,keharmonian dan kesejahteraan hidup mereka. Namun mereka masih
mahu membangun dan maju bersama Malaysia menurut acuan mereka sendiri.
Parti-parti pembangkang Semenanjung harus hormati naluri ini. Dalam menunjuk pengaruh, 'ukurlah baju di badan sendiri'.
Jangan kerana keangkuhan di Sarawak menyebabkan mereka 'menang sorak kampung tergadai.'
Kedudukan mereka di Semenanjung sendiri pun masih belum kukuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan