Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Sabtu lalu yang
menyaksikan DAP kehilangan lebih separuh daripada kerusi yang disandang
mereka adalah pengajaran kepada keangkuhan parti berkenaan.
Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata,
keputusan tersebut secara tidak langsung membuktikan pengundi di Sarawak
khususnya masyarakat Cina sudah bijak menilai dan mempersoalkan 'track
record' parti tersebut.
"Ia (DAP) ingat masyarakat Cina di Kuching, Miri, Sibu memberikan
sokongan kepada mereka, tapi tak betul kerana masyarakat melihat adakah
parti itu memberikan khidmat yang baik kepada mereka.
"Politik DAP ini 'divisive' (pecah-belah) jadi kalau ikut politik macam ini, Sarawak tidak maju," katanya kepada Antarapos.
Pada PRN kali ini, DAP hanya berjaya memperoleh tujuh kerusi daripada 31 kerusi yang ditandinginya.
Tujuh kerusi itu adalah Kota Sentosa, Padungan, Pending, Bukit Assek, Pelawan, Pujut dan Tanjong Batu.
Malah parti itu tewas di lima kerusi yang pernah menjadi miliknya dahulu, iaitu Batu Kawah, Repok, Meradong, Piasau dan Dudong.
Pencapaian DAP itu jauh lebih merosot berbanding PRN 2011 lalu di mana
parti itu menang di 12 kerusi daripada 15 kerusi yang ditandinginya.
Tunku Aziz juga melihat isu pertindihan kerusi di antara parti itu
dengan PKR adalah permulaan kepada pergaduhan terbuka yang lebih besar
di antara kedua-duanya selepas ini.
"Mereka ini bukan satu parti yang bersatu di atas perkara yang sama.
Mereka hanya berdasarkan parti masing-masing. Gabungan pun longgar dan
tak ada satu prinsip yang teguh. Depan tunjuk bersekutu tetapi di
belakang, tikam belakang rakan," ujarnya.
Ketidaksamaan prinsip perjuangan dan ketiadaan kata sepakat ujarnya,
membuatkan gabungan pembangkang sehingga kini gagal menubuhkan kabinet
bayangan - sesuatu yang dinanti oleh rakyat untuk menilai kerajaan
alternatif yang ditawarkan mereka.
"Kalau kita mahu beli barang, pastinya kita mahu melihat dulu sebelum
kita beri wang. Orang tidak bodoh, barangkali sekali bolehlah tipu, tapi
lama kelamaan orang boleh fikir.
"Kalau kita mengundi mereka, apa yang boleh mereka buat kalau (keadaan)
macam ini. Mereka pun tak ada 'track record' (yang bagus)," katanya
lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan