MELAKA: Keluarga seorang warga emas, Ahmad Yusop Omar, 64, yang
meninggal dunia akibat dihempap papan iklan Selasa lepas, tidak menolak
kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang selepas siasatan
terperinci terhadap insiden itu selesai.
"Kami sekeluarga reda dengan kejadian menimpa arwah ayah namun agak
terkilan kerana kemalangan tersebut melibatkan papan iklan dan berlaku
agak mengejut.
"Kami akan menunggu siasatan berhubung kejadian itu dalam beberapa hari
lagi untuk mengambil keputusan sama ada mengambil tindakan saman
terhadap pihak terlibat," kata Anak bongsu Allahyarham, Farahniza, 27,
yang dipetik Bernama.
Ujarnya tindakan itu bertujuan agar pihak bertanggungjawab lebih peka
dengan keadaan papan iklan di bawah penyeliaan mereka dan mengelak
insiden seperti itu daripada berulang.
Dalam kejadian pukul 7.15 pagi Selasa lepas, Ahmad Yusop meninggal
dunia selepas dihempap papan tanda iklan ketika berhenti di lampu
isyarat persimpangan Jalan Pokok Mangga menghala ke Klebang
Mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mengulas lanjut, Farahniza berkata papan iklan tidak seharusnya
dipasang di kawasan itu kerana kedudukannya berhampiran laluan kenderaan
yang boleh mengundang kecelakaan terhadap pengguna yang melalui jalan
tersebut.
Beliau berkata, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan pihak
Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) ada mengunjungi keluarganya di
rumah mereka selepas kejadian itu dan menyalurkan sumbangan wang tunai
kira-kira RM1,000.
"Ini adalah kehilangan paling besar dalam keluarga kami setelah lima
tahun lepas abang saya meninggal dunia akibat kanser paru-paru. Apa yang
lebih menyebabkan saya dan ibu terkilan ialah kami tidak sempat
berjumpa dengan ayah ketika dia menghembuskan nafas terakhir. Saya kini
tinggal bersama ibu, anak dan suami," katanya.
Mengimbas semula kejadian itu, Farahniza berkata, beliau menerima
berita berhubung kemalangan yang meragut nyawa bapanya itu daripada
saudaranya yang melalui jalan berkenaan kira-kira 7.45 pagi.
Beliau kemudian bersama suami, Mohd Syazerul Md Deris, 35, dan ibu,
Ramlah Bidin, 54, bergegas ke tempat kejadian dan melihat mayat bapanya
terbaring di jalan tersebut dengan ditutupi kain.
Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata,
siasatan awal mendapati papan iklan itu adalah jenis sementara dan
pemasangannya tidak mendapat kelulusan MBMB.
Beliau berkata, papan iklan itu, yang digunakan untuk memaparkan
pelbagai kempen seperti ucapan musim perayaan, tidak memenuhi standard
ditetapkan MBMB, malah pembina dan kontraktor papan iklan itu tiada
dalam daftar MBMB.
"Ada banyak papan iklan substandard seperti ini yang menggunakan 'angle
iron' atau 'channel iron' dipasang untuk tempoh tertentu. Papan iklan
ini mungkin terpaksa dibuka selepas kempen tersebut selesai," katanya
sambil menambah papan iklan itu dipasang sejak tahun 2009.
Idris berkata, MBMB telah mengambil tanggungjawab untuk menjalankan
siasatan terperinci mengenai kejadian tersebut dan apa-apa isu
berbangkit mengenai kejadian itu selepas ini.
Pada masa sama beliau agak kecewa atas laporan pihak tertentu yang
mengatakan bahawa papan iklan itu adalah papan iklan khas untuk
mempromosi kempen 'Don't Mess With Melaka' dan beliau turut menafikan
papan iklan itu milik kerajaan negeri.
"Ia papan iklan ditampal imej kempen 'Don't Mess With Melaka' malah
sebelum ini papan itu pernah ditampal banyak kempen, ia bukan papan
iklan spesifik 'Don't Mess With Melaka'. Banyak bezanya di situ malah
jika tidak betul faham boleh timbul persepsi negatif," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan