KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) - Sasaran kerajaan untuk membina 100,000
unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di seluruh negara
menjelang 2018 hampir tercapai dengan pelancaran satu lagi projek itu di
Metropolitan Kepong (MRR2) di sini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata PPA1M Metropolitan
Kepong yang dibangunkan oleh JL99 Group di atas tanah seluas 8.2 ekar
(3.28 hektar) akan melibatkan pembinaan dua blok pangsapuri yang
menempatkan 1,230 unit rumah.
"Sehingga Mei 2016, sebanyak 148 projek PPA1M dengan 82,012 unit rumah
telah diluluskan kerajaan dan kini berada dalam pelbagai peringkat
pelaksanaan.
"Kita janji 100,000 unit PPA1M menjelang 2018 dan kini sudah hampiri
sasaran tersebut. Ini merupakan komitmen kerajaan, insya-Allah dapat
kita tepati dan tunaikan," katanya ketika berucap di hadapan lebih 1,000
penjawat awam yang berjaya dalam permohonan PPA1M Metropolitan Kepong
di sini.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Menteri Wilayah
Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Setiausaha
Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin
Nordin Abdul Aziz.
Perdana menteri berkata projek perumahan mampu milik seperti PPA1M
sangat dekat di hatinya dan menjadi antara keutamaan tertinggi kerajaan.
Beliau berkata PPA1M juga merupakan satu daripada langkah kerajaan
mengurangkan risiko hutang dan beban kewangan penjawat awam untuk
memiliki rumah.
Najib berkata harga jualan PPA1M adalah 30 peratus lebih rendah
daripada harga pasaran hasil pelaksanaan kaedah subsidi silang, dengan
keuntungan bagi pembangunan komersial seperti lot-lot kedai oleh pemaju
di tapak projek berkenaan akan digunakan untuk membina blok-blok
perumahan.
Dalam pada itu, perdana menteri berkata pemilik PPA1M dikenakan syarat
tambahan iaitu tidak boleh menjual unit rumah mereka dalam tempoh 10
tahun bagi mengelakkan spekulasi harga.
Mengenai PPA1M Metropolitan Kepong, Najib berkata kerja-kerja menanam
cerucuk telah selesai dan kerja-kerja tukup cerucuk sedang dijalankan.
"Projek PPA1M Metropolitan Kepong dijangka siap pada 2018," katanya.
PPA1M di Metropolitan Kepong menawarkan empat jenis perumahan iaitu 124
unit Type A (850 kaki persegi), 370 unit Type B (1,000kp), 494 unit
Type C (1,200kp) dan 242 unit Type D (1,500kp).
Projek perumahan itu juga dilengkapi pelbagai kemudahan seperti surau,
Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia dan taman permainan yang
menjadikan kehidupan di situ lebih selesa.
Sebanyak 5,027 permohonan diterima untuk PPA1M Metropolitan Kepong dan hanya 1,230 sahaja yang layak memiliki rumah berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan