HALAMAN SANTAI

Isnin, 9 Mei 2016

Masih ada ruang untuk Husam merayu

Husam Musa
Husam Musa


KOTA BHARU - Nasib yang dihadapi  bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa perlu dijadikan peringatan dan pengajaran agar semua ahli menjaga kredibiliti parti serta  jemaah sebaik-baiknya.

Ketua Muslimat Pas Kelantan, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, sudah tentu setiap keputusan ada pro dan kontranya  sama ada mendapat respons positif atau negatif menurut kaca mata masing-masing.

“Bagaimanapun ruang rayuan masih terbuka luas untuk Datuk Husam merayu kepada parti dan insya-ALLAH kembali bersama parti sebagai wadah untuk meneruskan perjuangan politik Islam di tanah air,” katanya.

Keputusan sebulat suara Jawatankuasa Tatatertib Pas yang bersidang 23 April 2016 itu berdasarkan peruntukan Fasal 82 (6) (d) Perlembagaan Pas (Pindaan 2011) dan Husam dipecat daripada Pas berkuat kuasa pada tarikh tersebut.

Menyokong keputusan Jawatankuasa Tatatertib Pas itu, Siti Zailah berkata, ia merupakan satu keputusan secara kolektif dari jawatankuasa disiplin parti yang diketuai oleh veteran parti berpengalaman.

“Kami penuh yakin bahawa jawatankuasa dan parti yang mengambil masa begitu lama dalam menimbangkan dengan sebaik-baiknya dan saksama mengenai implikasi kesan siasah dan organisasi dari pelbagai dimensi.

“Yang paling penting tindakan parti ini dibuat berteraskan etika, kebenaran dan keadilan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Sehubungan itu, Muslimat Pas Kelantan menyeru semua ahli  menerima dengan sebaiknya  keputusan terbabit, bertenang dan terus istiqamah bersama kepimpinan parti.

“Semoga ibrah dan hikmah atas segala yang berlaku akan menguntungkan jemaah dan parti di dunia dan di akhirat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Datuk  Hassan Mahmood berkata, pihaknya meletakkan kepercayaan penuh terhadap Jawatankuasa Tatatertib parti atas apa yang  diputuskan dan yakin telah diselidiki serta dikaji secara mendalam.

Tiada ulasan: