HALAMAN SANTAI

Selasa, 10 Mei 2016

Nizar: Peluang kami cerah di Kuala Kangsar

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (PAN)  dijangka bertanding pada PRK Parlimen Kuala Kangsar berlandaskan persefahaman yang di meterai bersama PKR dan DAP di bawah payung Pakatan Harapan (PH), kata bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. 
 
Timbalan Pengerusi PAN Perak itu menegaskan ketetapan bahawa parti itu akan bertanding kerusi-kerusi yang sebelum ini dipertandingkan oleh PAS dicapai menerusi mesyuarat presiden Pakatan Harapan, justeru harus di jadikan sandaran dalam pemilihan calon untuk PRK Kuala Kangsar di Perak.   
 
"Kalau ikut prinsip asal semasa mesyuarat Presiden PH, mana-mana kerusi yang ditandingi PAS, oleh kerana PAN menggantikan PAS, maka mana-mana kerusi yang PAS bertanding, automatik PAN akan ambil tempat itu bertanding mewakili PH," katanya kepada Antarapos. 
 
Kerusi parlimen Kuala Kangsar adalah kubu Umno dan secara lazimnya adalah saingan dua penjuru antara Barisan Nasional  (BN) dan PAS. 
 
Namun dengan kemunculan PAN, PRK Kuala Kangsar di jangka menyaksikan saingan tiga penjuru atau lebih di samping meletakkan PKR di dalam keadaan politik yang agak tersepit. 
 
Ini kerana PKR mempunyai kerjasama politik dengan PAN menerusi Pakatan Harapan (PH) dan pada masa sama masih menjalin permuafakatan dengan PAS.  
 
Meskipun tewas di semua 13 kerusi yang ditandingi di Sarawak pada pilihan raya negeri itu baru-baru ini, PAN meletakkan harapan tinggi pada PRK Kuala Kangsar memandangkan parti itu mempunyai penyokong agak ramai berbanding negeri lain. 
 
Namun parti itu memerlukan sokongan kuat PKR untuk memberi cabaran kepada Barisan Nasional. 
 
"(Kami) memang kuat di Perak, dan keduanya, hampir 30 peratus pengundi Kuala Kangsar adalah bukan Melayu. Dan orang bukan Melayu akan tolak PAS, itu berdasarkan pengalaman saya di Changkat Jering dan Bukit Gantang," kata Nizar. 
 
Bagaimanapun Nizar yang juga ADUN Changkat Jering itu berkata, keputusan muktamad akan diputuskan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan tidak lama lagi. 
 
"Kena buat keputusan dulu sama ada yang mewakili PH itu siapa dia. Kalau PH setuju (kami) yang akan mewakili PH, maka (kami) akan masuk bertanding dan bekerja kuat," kata Nizar.
 
Nizar berkata isu-isu berkenaan PRK yang bakal berlangsung  berkemungkinan akan dibangkitkan pada mesyuarat pimpinan parti itu di Selayang, Ahad ini.
 
Kerusi Parlimen Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dari BN yang terkorban dalam tragedi helikopter di Sebuyau Sarawak 5 Mei lepas.
 
Selain Wan Mohammad Khair-il, turut terkorban dalam insiden itu adalah Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon, bersama empat penumpang lain.
 
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Jumaat ini bagi menetapkan tarikh PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar.
 
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, BN memenangi kerusi Kuala Kangsar dengan majoriti 1,082 dalam pertandingan tiga penjuru dengan PAS dan calon bebas.
 
Calon PAS, Khalil Idham Lim Abdullah memperoleh 13,136 undi manakala calon Bebas, Kamilia Ibrahim memperoleh 447 undi.
 
BN juga mengekalkan kerusi parlimen Sungei Besar dengan Noriah memperolehii majoriti 399 undi, menewaskan calon PAS Mohammed Salleh M Husin. 
 
 

Tiada ulasan: