Oleh Muhammad Asyraf Azlan
BANGI: PAS, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) boleh mewujudkan kerjasama tanpa DAP sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang, demikian pendapat seorang penganalisis politik.
Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berkata adalah mustahil akan berlaku penyatuan antara PKR, DAP, PAN dan PAS jika mereka masih dengan ego masing-masing.
Katanya, DAP semasa di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak telah mempamerkan ego mereka terhadap PKR, rakan sekutunya sendiri dalam Pakatan Harapan.
"Begitu juga PAS melihat bahawa PKR sudah dipijak oleh DAP.
"Jika DAP hendak teruskan cara egonya biarkan tetapi yang PAS, PKR dan PAN boleh duduk bersama,” ujarnya.
Beliau mengulas pelawaan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki kepada PKR supaya menyertai blok politik ketiga bersama parti Islam itu dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).
Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyarankan PAS kembali bersama DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN).
Menurut Zuhdi, tanpa DAP, pihaknya melihat gabungan PAS, PKR dan parti-parti lain seperti IKATAN mampu membawa kesan besar termasuk menukar kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Katanya lagi, PAS masih mematuhi keputusan Majlis Syura Ulama yang menetapkan hubungan tahaluf siyasi antara PAS dan DAP telah terputus manakala hubungan dengan PKR masih terjalin.
Pada PRN Sarawak ke-11 Sabtu lalu, DAP hanya memenangi tujuh kerusi, diikuti PKR tiga kerusi manakala PAN dan PAS tidak memenangi sebarang kerusi daripada 82 kerusi dipertandingkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan