Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Kemenangan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) di
Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini tidak memerlukan
pembangkang menubuhkan parti komponen bersifat kenegerian.
Timbalan Ketua Pemuda PAS, Khalil Abdul Hadi berkata kekalahan partinya
pada 7 Mei lalu adalah disebabkan oleh faktor luaran, contohnya sekatan
yang dikenakan kepada pemimpin parti-parti pembangkang.
"PAS tidak mempunyai perancangan menubuhkan parti-parti berasaskan kaum
atau puak yang ada di Sarawak. Kita kekal atas nama PAS dan konsisten
untuk memperjuangkan pilihan raya yang bebas dan telus.
"Bukan isunya soal parti-parti yang bertanding itu atas asas perkauman,
tetapi kita lihat dari sudut kebebasan pilihan raya itu sendiri,"
katanya kepada Antarapos, hari ini.
Khalid diminta mengulas pandangan bahawa kemenangan BN pada PRN Sarawak
baru-baru ini berdasarkan 'keselesaan' rakyat negeri itu terhadap
parti-parti yang dekat dengan diri mereka.
Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian sebelum ini
berkata pola pengundian rakyat Sarawak juga melihat bahawa parti-parti
pembangkang, iaitu PKR, PAS, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) lebih
bersifat Semenanjung.
Mengapa perlu dibahagikan?
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid
ketika mengulas hal ini juga menegaskan PKR sebagai sebuah parti
nasional tanpa perlunya membahagikan sokongan kepada parti-parti
komponen.
"Jika dilihat kepada keputusan, tidak kita jaminkan bahawa parti-parti
politik tempatan Sarawak menjadi ukuran. Bagi kami, parti kami (PKR)
untuk nasional, Malaysia.
"Jadi jika ia untuk Malaysia, mengapa perlu dibahagikan? Itu pandangan
saya. Apabila saya melihat, tidak ada keperluan dalam nak menubuhkan
parti-parti berasaskan Sarawak.
"Kita parti majmuk, tiada batas. Semua orang boleh masuk. Itulah kelebihan kita," katanya lagi.
Untuk rekod, kesemua pemimpin parti komponen BN memenangi kerusi yang ditandingi mereka pada PRN Sarawak baru-baru ini.
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang juga Presiden PBB
menang muda di Tanjong Dato, menewaskan pencabarnya daripada PKR.
Sementara itu Presiden SUPP, Datuk Dr Dr Sim Kui Hian menang di Batu
Kawan, yang sebelum ini disifatkan sebagai kerusi panas.
Kekalahan teruk pembangkang terhadap BN di Sarawak 'diterima' Timbalan
Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai berpunca daripada
perlingkahan antara parti-parti pembangkang, dan menyeru PKR-PAS-DAP-PAN
bergerak ke depan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14, kelak.
Abdullah Sani dalam pada itu menyambut baik gesaan Azmin, namun
mengingatkan parti-parti pembangkang untuk saling bertolak-ansur dan
tidak 'syok sendiri'.
"Jika nak masa depan yang lebih baik, maka kita kena fikir dengan cara
lebih baik. Jika kita hendak ambil alih kerajaan persekutuan, kita kena
ada solidariti dan tidak boleh berpecah.
"Jika tidak ada pilihan tetap tiada pilihan. Dan jika ada pilihan dan
ia terbaik untuk bersama memenangkan kita sebagai gabungan yang mantap,
dan keadaan sekarang menampakkan keperluan jelas bahawa memerlukan
persefahaman dan kerjasama erat di kalangan pembangkang," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan