HALAMAN SANTAI

Selasa, 10 Mei 2016

Cadangan PAS agar PKR sertai blok ketiga akan hancurkan pembangkang - Khalid Samad

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pelawaan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang mahu PKR menyertai blok politik ketiga bersama PAS dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), hanya akan memecah-belahkan kedudukan pembangkang.  
 
Pengarah Strategik Parti Amanah Negara (PAN) Khalid Samad sambil menempelak Zuhdi berkata, cadangan itu bukan saja tidak membantu memperkukuhkan kedudukan pembangkang yang kini sudah 'terpecah' dua, bahkan dilihat memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN). 
 
"Istilah blok ketiga maknanya ada tiga kumpulan dan teori ini bertujuan untuk memecahbelahkan pembangkang sedangkan apa yang diusahakan itu ialah untuk menyatupadukan pembangkang supaya bersatu dan mampu hadapi Perdana Menteri (Datuk Seri Najib).
 
"Jadi konsep blok ketiga ini memang satu konsep yang pelik dan bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan Barisan Nasional," katanya.
 
Bercakap kepada Antarapos, Khalid berkata cadangan PAS itu pastinya tidak akan diterima PKR yang kini mengikat kerjasama dengan DAP dan PAN menerusi Pakatan Harapan (PH) di peringkat nasional.
 
Khalid juga mengingatkan bahawa kerjasama PKR dengan PAS hanya terbatas di peringkat Kerajaan Negeri Selangor saja.
 
"Saya yakin bahawa pelawaan PAS untuk PKR menyertai blok ketiga tidak akan diterima baik oleh pihak PKR," katanya lagi.
 
Ujar Ahli Parlimen Shah Alam itu, PAN bagaimanapun bersetuju dengan cadangan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali agar PAS kembali ke pangkuan PH dan membentuk satu gabungan yang kukuh bagi menentang Barisan Nasional (BN).
 
"Kita (PAN) lebih setuju dengan pelawaan yang dilakukan oleh (Datuk Seri) Azmin Ali untuk PAS menyertai Pakatan Harapan (PH) supaya pembangkang itu disatukan dapat diwujudkan sistem dwi-parti, maknanya satu lawan satu (dengan BN).
 
"Kalau kita lihat apa yang dipelawakan oleh PAS adalah untuk mewujudkan blok ketiga bermakna pembangkang berpecah dua nak berhadapan dengan BN, ini akan melemahkan pembangkang dan bercanggah dengan apa yang telah diusahakan selama ini," ujarnya.
 
Sementara itu Ketua Wanita PKR Zuraidah Kamaruddin yang turut senada dengan Khalid berkata, cadangan PAS agar PKR bergabung dalam blok ketiga adalah tidak realistik kerana parti itu telah menjalinkan hubungan dengan DAP dan PAN.
 
Di samping itu tambahnya, saranan Azmin untuk PAS kembali ke PH adalah satu langkah bijak bagi menentukan hala tuju pembangkang khususnya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) 14.
 
Ini kerana perpecahan yang berlaku di kalangan pembangkang turut memberi kesan kepada jumlah pengundi sebagaimana yang berlaku di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Sabtu lalu.
 
"Saya ingat itu satu cadangan peribadi daripada Zuhdi, dia sebagai seorang penyelidik PAS tetapi bagi pihak PKR tawaran (Datuk Seri) Azmin Ali lebih adil untuk (PAS) bersama balik dengan kerjasama Pakatan Rakyat (selepas itu Pakatan Harapan) semasa PAS bersama DAP, tapi bukanlah untuk PAS menawarkan kita (PKR) bersama (blok ketiga).
 
"Setakat hari ini kita sudah ada kerjasama dengan PH dan bersama PAS jadi kalau nak suruh masuk bersama Parti Ikatan (dalam blok ketiga), sepatutnya (parti) Ikatan yang masuk PH itu lebih molek," katanya.
 
 

Tiada ulasan: