MALAYSIAKINI
Lim Guan Eng mahu DAP memutuskan sama ada beliau harus bercuti atau
meletakkan jawatan sebagai ketua menteri memandangkan tuduhan
terhadapnya.
Bagaimanapun, berdasarkan komen-komen pemangku pengerusinya, Tan Kok
Wai, ia seolah-olah Lim tidak mungkin menghadapi sebarang tekanan
dalaman untuk berundur.
Tan mendakwa anggota parti itu tidak mempunyai keraguan berhubung kejujuran dan integriti setiausaha agung mereka itu.
"Moralnya yang tinggi adalah kualiti pemimpin yang menjadikan parti
itu bangga dan yakin. Yakin dan percaya pada beliau untuk terus memimpin
Pulau Pinang pada saat-saat yang sukar," kata Tan.
Disoal mengenai pendiriannya sebelum ini, Lim menjawab: "Parti akan membincangkannya."
Jawatankuasa DAP Pulau Pinang mengadakan mesyuarat tergempar di Wisma
DAP, ibu pejabat parti itu di Jalan Rangoon, untuk membincangkan
perkara berkaitan selepas Lim didakwa di mahkamah hari ini.
Sementara itu, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang hadir
pada sidang akhbar itu, berkata proses pendakwaan tidak menjejaskan
pentadbiran Pulau Pinang.
"Jawatankuasa DAP negeri memutuskan tiada keperluan untuk Lim mengambil cuti daripada tanggungjawabnya sebagai ketua menteri.
"Jawatankuasa DAP negeri memberi jaminan operasi pentadbiran kerajaan
negeri berjalan seperti biasa dan tidak terjejas oleh pendakwaan itu,"
katanya.
Chow juga membidas keputusan mahkamah yang menetapkan wang jaminan RM1 juta ke atas Lim yang dianggap adalah keterlaluan.
"Kita terpaksa menggunakan keseluruhan wang dalam akaun DAP negeri
bernilai RM890,000 dan mengambil RM110,000 daripada akaun DAP pusat,"
katanya.
Beribu-ribu pelajar dan pekerja lewat tiba ke sekolah dan pejabat gara-gara penutupan jalan tersebut.
Polis telah mengadakan sekatan jalan raya di Jalan Sultan Ahmad Shah sebelum bangunan SPRM dan di Lebuh Farquhar berhampiran mahkamah Pulau Pinang.
Aliran trafik tergendala dari Jalan Pangkor ke Jalan Sultan Ahmad Shah, manakala trafik perlahan di Lebuh Farquhar.
Jalan-jalan ini adalah jalan-jalan utama ke beberapa buah sekolah di George Town seperti Convent Light School, St Xavier's Institute, SMK Hutchings dan terminal feri di Weld Quay.
Pengguna jalan raya dari utara dan selatan menuju ke pusat bandar dinasihatkan mengelakkan diri daripada menggunakan Jalan Sultan Ahmad Shah dan Pulau Tikus untuk mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid yang berada di bangunan SPRM sejak pukul 7.45 pagi berkata sekatan jalan raya dibuat untuk memastikan proses menghantar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng ke mahkamah berjalan lancar.
"Kita bukannya cuba untuk menyebabkan masalah kepada rakyat tetapi kita perlu berbuat demikian supaya prosiding mahkamah berjalan lancar," katanya.
Beliau berkata polis juga akan mengawal bilangan orang yang memasuki bangunan mahkamah atas sebab yang sama.