HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Jun 2016

‘Siapa lebih bahaya, Abu Ain atau mufti Pahang?’

 
Kit Siang menyenaraikan beberapa tindakannya yang membuktikan DAP bukan dalam kategori musuh Islam.


Mohd Rafi Udin


PETALING JAYA: Lim Kit Siang menganggap mufti Pahang lebih bahaya daripada pejuang IS warga Malaysia Mohd Rafi Udin yang baru-baru ini mengancam melakukan serangan.

Ini kerana, kata pemimpin DAP itu, sekurang-kurangnya pengganas seperti Rafi, juga dikenali sebagai Abu Ain, sentiasa dipantau Bahagian Counter-Terrorism Cawangan Khas polis Bukit Aman.

“Tetapi Malaysia nampaknya langsung tiada pertahanan melawan pegawai agama berfikiran ala-IS yang menyebarkan doktrin yang tiada beza dengan IS,” kata Kit Siang, mengulas keengganan Datuk Seri Abdul Rahman Osman menarik balik kenyataannya yang menggolongkan DAP sebagai “kafir harbi” dan wajib diperangi kerana menolak undang-undang Islam.

Baru-baru ini, Bukit Aman mendedahkan video grafik memaparkan Rafi bersama dua lagi pejuang IS memenggal tiga tebusan. Rafi kemudian menyampaikan amaran kepada kerajaan Malaysia supaya bersedia menghadapi serangan penyokong IS.

Kit Siang menyenaraikan beberapa tindakannya yang membuktikan DAP bukan dalam kategori musuh Islam.

Antaranya, beliau bangun dalam Dewan Rakyat mempertahankan kerajaan negeri PAS ketika kerajaan BN mengisytiharkan darurat di Kelantan pada 1978.

Kit Siang berkata beliau juga mengutuk tindakan kerajaan dalam insiden Kampung Memali di Kedah pada 1985, yang menyebabkan 18 orang terbunuh.

Kit Siang turut mengingatkan hukuman penjara yang dijalani anaknya, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, kerana membela seorang perempuan Melayu yang mendakwa menjadi mangsa rogol.

Bagi ahli Parlimen Gelang Patah itu, kenyataan mufti Pahang merupakan “serangan paling serius dan bahaya ke atas Perlembagaan Malaysia”, dan menyeru Kabinet membincangkan perkara itu pada mesyuarat mingguannya esok.

Tiada ulasan: