HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Jun 2016

Eskalator: 32 insiden direkod sejak 2011

SINAR HARIAN
eskalator
- Gambar Hiasan


KUALA LUMPUR - Sebanyak 32 insiden membabitkan eskalator direkodkan di seluruh negara dari 2011 hingga Jun tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Datuk Ir Mohtar Musri berkata hasil siasatan mendapati kebanyakan mangsa yang terlibat adalah kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah.

"Dalam kebanyakan kes, kanak-kanak ini dibiar menggunakan eskalator tanpa pengawasan ibu bapa atau orang dewasa.

"Tahun ini sahaja, empat insiden kemalangan melibatkan eskalator dilaporkan kepada JKKP...secara purata sebanyak empat hingga lima kes membabitkan kemalangan eskalator dilaporkan kepada JKKP setiap tahun," katanya.

Mohtar berkata demikian ketika melancarkan Kempen Keselamatan Penggunaan Eskalator peringkat Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur anjuran JKKP dengan kerjasama Persatuan Lif dan Eskalator Malaysia.

Kempen yang turut dijalankan dengan kerjasama Sunway Putra Mall dan Parenthood Ventures Sdn Bhd itu bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna mengenai keselamatan penggunaan eskalator.

Dalam pada itu, Mohtar turut mengingatkan pemilik premis agar sentiasa memastikan setiap eskalator yang dipasang di premis mereka diselenggara mengikut jadual bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini.
Berdasarkan statistik, sejumlah 10,951 eskalator telah berdaftar dengan JKKP, katanya.

Mohtar juga yakin kemalangan yang tidak diingini sebenarnya boleh dielakkan kerana kebanyakan eskalator di negara ini dipasang dengan peranti keselamatan selain diselenggara setiap bulan dan mempunyai sijil kelayakan yang masih sah.

"Papan tanda juga telah dipasang untuk mengingatkan orang ramai bahawa eskalator mesti digunakan dengan betul," katanya, sambil berharap pengguna mengamalkan sikap lebih berhati-hati ketika menggunakan eskalator.- Bernama


Tiada ulasan: