Muhyiddin Yassin |
Penulis tidak mahu memberi apa-apa reaksi lebih terhadap penolakan dan kekesalan Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir dengan apa yang dilakukan oleh partinya terhadap mereka berdua. Mungkin juga untuk menyatakan simpati pun tidak perlu, kerana apa yang dialami dan bakal dilalui oleh kedua mereka itu perkara biasa dalam politik.
Orang yang kena tindakan (hukuman) pasti tidak berpuas hati, kesal dan marah, sambil memberi alasan mempertahankan diri mereka. Manakala dipihak yang bertindak (penghukum) juga mengambil tindakan sama mempertahankan keputusan mereka sebagai tepat dan adil.
Bezanya di pihak mengambil tindakan, dalam hal ini Najib Razak selaku presiden Umno, akan dibela oleh para pengampu dan penyokongnya. Mereka yang mengharapkan belas ehsan Najib untuk kekal dengan apa yang ada, akan bersorak sorai menganggap keputusan memecat Muhyiddin dan Mukhriz itu sebagai betul dan bijak.
Seorang demi seorang akan bangun membela Najib dan menyokong penuh keputusan memecat Muhyiddin dan Mukhriz itu. Manakala Muhyiddin dan Mukhriz akan membela diri mereka sendiri secara bersendirian tanpa ada sokongan meluas dan kibaran sepanduk I Love... dan sebagainya. Kalau ada pun yang menzahirkan simpati adalah orang-orang senasib dengannya dipecat kejam daripada Umno.
Natijah daripada tindakan itu juga serupa dengan apa yang berlaku sebelum ini. Dipecat, digantung atau kemudian kembali semula ke dalam parti adalah lumrah, sudah banyak individu melalui jalur sejarah saat-saat getir dan menyedihkan begitu. Ada yang berhadapan dengan kerenah itu berlalu begitu sahaja, hanyut ke dalam lipatan sejarah. Ada pula yang kuat semangat hidup bahkan kembali menjadi hebat dan lebih bererti daripada sebelum ini.
Jika boleh disebut denai dan lenggang lenguk politik yang dilalui Dr Mahathir Mohamad adalah contoh terbaik. Beliau dipecat daripada Umno kemudian dibawa masuk semula sehingga mencapai kedudukan sebagai PM. Mungkin apa dicapai Mahathir itu satu-satu individu bernasib baik dan hebat demikian dan ia terjadi satu dalam sejuta.
Tengku Razaleigh |
Kepulangan balik beliau ke lubuk asal itu tidak memberi apa-apa keuntungan kepadanya. Sebaliknya beliau seakan kena main dengan tindakannya itu. Maka jadikan kedudukan Tengku Razaleigh hari ini ke tengah tidak kesamapaian dan hanya menyepi ditepian. Niat baik dan sucinya tidak langsung dihargai.
Pendeknya mereka yang keluar parti apa lagi dikenakan tindakan kemudian menubuhkan fraksi baharu jarang boleh hidup. Juga kalau boleh disebut dan menjadi satu-satu contohnya apa dilakukan Anwar Ibrahim. Hanya Anwar boleh menyambung hayat politiknya hingga kini walaupun dipenggal daripada Umno. Mereka yang lain mereput begitu sahaja. Berangan dalam gelap menjadi seperti kata bidalan "Ayam tidak patut itik tidak sudu".
Anwar Ibrahim |
Sebelum itu kita lihat apakah senario dihadapi Muhyiddin sama dengan apa dihadapi Mahathir dan Anwar itu. Persamaan senario ini akan membolehkan kita baca ke mana nasib diri dan politik Muhyiddin selepas ini. Selebihnya kita lihat apakah Muhyiddin mempunyai ciri-ciri keperkasaan atau punyai kapasiti seperti dimiliki Mahathir dan Anwar untuk dijadikan modal mengolah perjuangan (politik)nya. Apakah istimewanya Muhyiddin yang boleh memungkin dia mengikut jejak Mahathir atau Anwar itu?
Siapa Dr Mahathir semasa beliau dipecat daripada Umno. Mahathir adalah seorang profesional yang dianggap dari kalangan marhain daripada Umno dan beliau diperlukan kerana menyerlahkan perjuangannya untuk rakyat. Mahathir ketika itu dikenali sebagai pemimpin baharu, bersemangat rakyat bawahan yang anti feudalisme.
Manakala punca pemecatannya ialah kerana tidak setuju dengan cara Tunku Abdul Rahman, seorang bangasawan yang kental dengan feudalisme menguruskan parti. Beliau menulis surat layang kemudian surat itu diviralkan, itulah puncanya. Tunku tersangat murka akhirnya memecat Mahathir.
Macam mana pula dengan Anwar? Anwar dipecat kerana tidak bersetuju dengan Dr Mahathir Mohamad mengenai beberapa hal. Salah satu yang dicanangkan ialah kerana Dr Mahathir galak mengamalkan kronisme dan nepotimse. Menurut Anwar kerana ketidaksetujuan kepada cara dan amalan Mahathir itulah dipecat. Manakala dakwa Mahathir pula beliau tidak senang dengan Anwar kerana timbalannya terlibat dalam kegiatan sumbang rendah moral.
Sementara itu pengamat politik umum melihat sengeketa Mahathir - Anwar digerak oleh konspirator yang cemburu dengan potensi yang ada kepada Anwar dan melihat hubung baik melampau Mahathir dengan Anwar bakal merugikan mereka. Jadi mereka harus menggerakan satu projek merenggangkan antara keduanya sehinggakan Mahathir melihat Anwar sebagai musuh. Mana satu keadaan yang benar dan nyata, tidak dapat dipastikan, tetapi begitulah senario di sebalik apa yang berlaku.
Sewaktu dipecat Anwar adalah timbalan perdana menteri yang sungguh berwibawa. Dianggap tokoh pemimpin Umno dan bangsa yang popular. Beliau seakan telah ditabal oleh pendokongnya sebelum dimashyurkan sebagai pengganti mutlak Mahathir. Anwar ada penyokong dan pendokong tersendiri yang beridealisme. Selain gaya dan cara beliau berpolitik, berintraksi peduli rakyat disenangi. Aspirasi perjuangannya membela rakyat bawahan, mahu meletakkan keadilan sosial menyebabkan beliau dilihat umum sebagai adijagat bangsa dan akitek negara yang genius.
Begitu juga dengan jaringan politik dan diplomasinya cukup luas bukan sahaja dalam negeri tetapi hingga ke luar negara. Beliau dikenali oleh berbagai gerakan dan badan serta pertubuhan baik Islam, sosial, politik, ekonomi dan sebagainya. Sebab itulah beliau mempunyai nilai dan kepimpinan yang tinggi sehingga ada mengkategorikan beliau sebagai "mujadid".
Itu kelebihan yang ada kepada Anwar. Beliau disenang dan disayangi bukan saja golongan bahawan, tetapi pertengahan dan profesional/ Kerana kelebihan dan waja itulah maka apabila beliau menggerak Gerakan Reformasi yang kemudian menetaskan Parti Keadilan, beliau mendapat dokongan. Parti pimpinannya berjaya memetai tanah air hanya dalam tempoh begitu singkat sekali yang belum pernah berlaku. Dan kerana dayausaha dan komitmennya juga buat pertama kali BN hilang kuasa majoriti di Parlimen.
Apakah Muhyiddin mempunyai ciri-ciri dan krasmatik sama dimiliki Anwar dan Mahathir itu? Mungkin Muhyiddin sendiri dapat mengukur dirinya sendiri dan melihat kepada realitas alam sekelilingnya. Muhyiddin tidak boleh berbohong apakah najisnya terapung atau tenggelam. Ternyata Muhyiddin berada jauh dari kecemerlangan dan kehebatan yang dimiliki Anwar Ibrahim dan juga Dr Mahathir sendiri.
Setelah mengambil kira perbezaan, kelemahan dan kelebihan inilah, penulis tidak tampak Muhyiddin mampu untuk meletakkan dirinya sehebat atau sepopular semasa dia jadi TPM, di mana ketika itu dia dipuja kerena selalunya seorang TPM akan menjadi Santa Claus. Tetapi setelah jawatan itu terpenggal darinya, maka sokongan pun berkurangan dan seorang demi seorang pendokong akan meminggir. Atas hakikat itulah bagi penulis tidak yakin kemampuannya, jauh sekali kalau dia berangan-angan akan menjadi seperti Anwar dan Mahathir untuk meraih kehebatan dan populariti selepas dipecat daripada Umno.
Kanvas perjuangannya tidak melakar sebarang angkubah besar untuk dinilai oleh rakyat. Apakah kejutan atau sejarah yang dibuatnya. Kalau pun boleh disebut satu-satu kenangan yang tersemai dalam kepala umum ialah ketika beliau menyertai Team Wawasan dahulu. Atau semasa menjadi Exco di zaman Anwar menjadi Ketua Pemuda. Selain itu Muhyiddin tidak ada moment perjuangan besar yang boleh disebut.
Pun begitu moment indah itu terpadam terus apabila beliau bermain selamat (play safe) dalam politik, ketika krisis Mahathir - Anwar beliau bertindak mendokong Dr Mahathir dan dalam masa sama untuk disenangi Mahathir sanggup tumpang memburuk-burukkan Anwar. Lebih mengilankan lagi ialah apabila beliau dengan vokal meminta Abdullah Ahmad Badawi berhenti menjadi PM. Permintaan itu memperlihatkan Muhyiddin bukan seorang pemimpin beretika Melayu dan jelas tindakan itu kerana mengikut telunjuk Mahathir Mohamad.
Apa yang beliau lakukan kepada Abdullah itu menjadi ingatan dan kenangan. Orang Umno yang bersimpati dengan Abdullah, yang melihat Abdullah lebih ikhlas dan baik dalam memimpin negara berbanding Mahathir, kesal dan marah kepada Muhyiddin. Dua senario itu sudah cukup untuk dijadikan "hutang dendam" bagi mereka dan berasakan tidak perlu bersimpati dengan Muhyiddin.
Dari sudut mana dan atas perkirakan apa juga, Muhyiddin tidak terlawan kekuatan dan sokongan yang diberikan terhadap Najib. Najib disokong dan Muhyiddin ditolak bukan sahaja kerana Najib menjinakan orang Umno dengan umpan, tetapi rakyat juga tiada sentimental value dan kenangan manis dengan Muhyiddin seperti mana rakyat memiliki sentimental value kepada Anwar dan Mahathir?
Berdasarkan hakikat itu macam mana Muhyiddin hendak menggerakkan langkah baharunya selepas terkeluar daripada Umno. Sentimental value sangat penting untuk mendekatkan orang dengan kita. Justeru bagi penulis kalau Muhyiddin bersama Mukhriz, Mahathir dan segelintir ahli Umno yang kecewa menubuhkan parti politik baharu sebagai wadah meneruskan perjuangan, ia sukar untuk mendapat sambutan. Akhirnya wadah itu akan jadi seperti telaga buruk yang ditinggalkan kerana tidak mengeluarkan air jernih.
Jalan terbaik bagi hemat penulis untuk Muhyiddin ialah berehat dalam politik. Membiarkan ladang politik ditumbuhi dengan rumput rampai. Umno serahkan kepada Najib dan kuncu-kuncunya. Muhyiddin boleh bangkit semula (bersama Umno), selepas ini sekiranya sesudah Umno hancur atau kalah, atau selepas ladang politik Umno itu dipenuhi dengan rumput rumpai dan sampah sarap. Saat itu beliau boleh menjenguk semula dan membersihkan.
Selain cara itu, penulis tidak nampak beliau, dapat mendominasi semula dan buat come back dalam politik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan