HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Jun 2016

'Tindakan tegas ke atas ahli Umno bantah keputusan MT'

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap ahli Umno khususnya di bahagian Pagoh, Semporna dan Jerlun yang membantah keputusan Majlis Tertinggi parti itu yang memecat dan menggantung pemimpin mereka Jumaat lalu.

Tengku Adnan berkata, adalah tidak wajar bagi ahli parti di bahagian tersebut menuduh Majlis Tertinggi mengambil tindakan di luar batasan.

Akhbar Utusan Malaysia memetiknya sebagai berkata, pemecatan ketua Umno bahagian Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketua Umno Jerlun Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta penggantungan ketua Umno bahagian Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana mereka melanggar disiplin parti.

"Kita sedang meneliti dan memantau pergolakan yang berlaku di Semporna dan Pagoh di mana ada ahli-ahli yang tidak berpuas hati terhadap keputusan Majlis Tertinggi Umno.

"Jika mereka tidak menunjukkan tataetika sebagai ahli Umno yang benar-benar berjuang untuk agama, bangsa dan negara tetapi untuk individu, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka," katanya kepada akhbar milik Umno itu.

Umno bahagian Pagoh dan Semporna sebelum ini mengumumkan mereka menolak keputusan Majlis Tertinggi yang memecat pemimpin mereka daripada parti.

Ia berikutan keputusan Majlis Tertinggi Umno pada Jumaat lalu yang membuat keputusan memecat Muhyiddin dan Mukhriz selepas didakwa bersekongkol dengan pembangkang menyerang parti serta kepimpinannya.

Shafie pula digantung keahlian atas kesalahan sama dan tindakan itu berkuat kuasa sehingga Majlis Tertinggi Umno menerima laporan daripada Jawatankuasa Disiplin parti.

Sementara itu, dalam isu peletakkan jawatan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam kabinet dan Umno,
Ketua Penerangannya Tan Sri Annuar Musa meminta supaya semua pihak bertenang dan tidak membuat spekulasi.

Akhbar itu melaporkan, dakwaan yang mengatakan Husni digugurkan daripada kabinet adalah tidak benar kerana keputusan tersebut dibuatnya sendiri atas sebab peribadi, katanya.

"Bagi saya tidak timbul soal digugurkan atau tidak daripada kabinet dan mengenali Husni, beliau seorang yang jujur dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas serta amanah diberikan," katanya.


Tiada ulasan: