PUTRAJAYA: Lima individu mendapat sejumlah RM5.2 juta ganti rugi
termasuk faedah dan kos selepas Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan
kerajaan Malaysia dan dua pihak lagi gagal dalam rayuan mereka untuk
mengurangkan ganti rugi ekoran kesemuanya ditahan secara salah, 15 tahun
lalu.
Lima individu itu Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang,
Hishamuddin Rais, Saari Sungib, Badaruddin Ismail dan Dr Badrulamin
Bahron.
Masing-masing ditahan secara salah di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk tempoh yang berbeza.
Kelima-lima mereka akan mendapat ganti rugi dalam tempoh kira-kira setahun selepas melalui beberapa prosedur.
Panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri
Richard Malanjum sebulat suara memutuskan demikian selepas menolak
rayuan pihak kerajaan dan memerintahkan kos RM30,000 dibayar kepada
responden-responden.
Kerajaan merayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 11
Disember 2014 yang memerintahkan bayaran ganti rugi RM10,000 sehari
serta faedah lapan peratus setahun kepada pihak responden. Saman itu
dikemukakan pada April 2004.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan