HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Jun 2016

Restoran Chef Wan di Singapura tutup hujung bulan ini

 
Kontrak restoran itu tamat dan beliau tidak berminat menyambung semula berikutan kadar sewa dinaikkan selain pengurusan yang kucar-kacir.


Chef-Wan_1market_600


SINGAPURA: Restoran 1 Market by Chef Wan di Plaza Singapura akan ditutup penghujung Jun ini selepas beroperasi kira-kira tiga tahun setengah.

Mediacorp melaporkan, Chef Wan berkata kontrak tiga tahun restoran itu tamat dan beliau tidak berminat menyambung semula berikutan kadar sewa dinaikkan selain pengurusan yang kucar-kacir.

Chef Wan yang menjadi ‘wajah’ restoran itu bukan pemilik restoran berkenaan tetapi memberikan namanya untuk digunakan selain memberi khidmat nasihat.

“Anda boleh lihat kualiti pengurusan kucar-kacir, makanan dan resipi tak buat apa yang kita dah tunjuk. Cef pun ikut suka hati mereka. Bila saya dengar, saya marahlah.

“Saya pun tak dijemput lagi untuk develop resipi hampir 10 bulan. Masalah pengurusan memang dapat lihat jelas dan terbawa-bawa hingga ke kualiti makanan. Bila kita habis kontrak tiga tahun kita bincang baliklah. Sudah tentunya saya tidak puas hati,” katanya.

Chef Wan sendiri yang berkongsi berita penutupan restoran itu menerusi akaun Instagram rasminya ChefWan58 petang semalam.

Restoran itu dibuka pada November 2012 dengan kontrak antara Chef Wan dan rakan kongsi restoran itu, Food Junction.

Chef Wan, 59, berkata tidak mudah untuk mendapatkan tukang masak berkemahiran untuk restoran itu di Singapura.

Tukang masak selebriti itu berkata pembaziran makanan turut berlaku di restoran itu kerana hidangan makan tengah hari dan malam dibuat secara bufet dan itu menyebabkan kos operasi meningkat.

Cef Wan memberitahu BERITAMediacorp, beliau sedih dengan penutupan restoran itu memandangkan ia berjaya menjana pendapatan sebanyak S$1 juta setiap bulan ia dikendalikan.

Selain itu, katanya, restoran itu adalah peluang kepadanya bertemu dan bermesra dengan peminatnya di Singapura.

“Benda ni sayang sebab kami bekerja keras. Banyak promosi. Saya jenis ‘tough person’ yang selalu percaya hujan atau panas, apa pun yang terjadi kita kena teruskan kehidupan. Bukan sesuatu yang anda bimbang atau nak terjun diri dari bangunan,” katanya dengan nada gurau dalam mengungkap isu tersebut.

Meskipun restoran itu akan ditutup pada penghujung bulan ini, beliau akui sudah pun ada beberapa pelabur yang berminat membuka restoran lain pula di Singapura atau Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: