HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Jun 2016

Hormati keputusan Husni letak jawatan - Penganalisis

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Seorang penganalisis politik hari ini membidas tindakan ahli parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar membuat tuduhan tidak berasas terhadap  peletakkan jawatan Datuk Seri Husni Hanadzlah sebagai Menteri Kewangan II dengan mengaitkannya dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
 
Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, tindakan Husni meletakkan jawatan tidak seharusnya dispekulasikan oleh mana-mana pihak selagi empunya diri tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung perkara yang kini menjadi tumpuan media.
 
"Bagi saya peletakan jawatan Datuk Seri Husni atas dasar sebenarnya masih spekulasi kerana kita belum mendengar satu kenyataan rasmi berkaitan dengan mengapa beliau meletakkan jawatan. 
 
"Apa yang kita ada adalah kenyataan daripada setiausaha politik beliau yang menyatakan melepaskan jawatan dalam kerajaan dan parti. Jadi untuk kita menyatakan bahawa sebab beliau meletakkan jawatan sebab tidak berpuas hati mengenai isu 1MDB. Bagi saya mungkin satu spekulasi sahaja.
 
Media propembangkang hari ini melaporkan Mahfuz mempersoalkan pengunduran Husni dan Tan Sri Abdul Wahid Omar dalam Kabinet pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
 
Dalam laporan berkenaan, Mahfoz menyoal mengapa kedua-dua mereka tidak meneruskan khidmat sebagai menteri penuh pada waktu negara sedang dilanda krisis ekonomi dan kewangan yang meruncing.
 
Merujuk kenyataan itu, Marthada berkata masyarakat tidak seharusnya melemparkan tuduhan tidak berasas dan perlu menghormati keputusan yang dibuat Husni.
 
"Kita perlu hormati atas dasar apa sekalipun sebab sama ada beliau nyatakan atau tidak itu merupakan satu tindakan yang perlu dipuji kerana atas dasar apa sekalipun kita perlu menghormati pendirian beliau," tambah beliau.
 
Dalam rombakan Kabinet semalam, Najib mengumumkan bahawa Husni meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan II atas sebab-sebab peribadi. 
 
Setiausaha politik beliau, Datuk Shamsul Zairil Kamaruddin kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa Husni turut melepaskan semua jawatan dalam Umno dan BN, tetapi kekal Ahli Parlimen Tambun yang diterajuinya sejak 1995.
 
"Bagi saya, masyarakat mungkin boleh membuat andaian sedemikian (atas pemecatan Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz dengan serta-merta) terutamanya dalam konteks kita melihat bahawa memang boleh dikatakan terdapat kaitan di antara kedua-dua faktor tersebut terutama pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan juga dalam masa yang sama peletakan jawatan Datuk Seri Husni.
 
"Namun untuk kita menyatakan secara tepat bahawa peletakan beliau atas sebab beliau tidak lagi mempercayai dan tiada ruang untuk kritikan dalam Umno itu semakin kurang itu masih dalam bentuk spekulasi. Bagi saya ini merupakan perkara yang perlu diberikan perhatian," ujar Marthada.
 
 

Tiada ulasan: