HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Jun 2016

Muhyiddin, Mukhriz berdepan kesukaran jika tubuh parti baru - Penganalisis [TONTON VIDEO]

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin dinasihatkan untuk menyertai parti politik sedia ada daripada mewujudkan platform baru bagi dirinya dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
 
Menurut penganalisis politik Dr. Maszlee Malik, ini kerana terdapat cabaran besar jika menubuhkan parti baru berbanding menyertai parti sedia ada.
 
"Seeloknya ialah menyertai parti sedia. Kalau kita lihat parti sedia ada macam PAS tapi nampaknya lebih mesra dengan Umno dalam banyak hal, Hadi lebih mesra dengan Datuk Seri Najib terutamanya selepas diberikan laluan untuk bentang Rang Undang-undang di Parlimen, jadi PAS bukan pilihan.
 
"Mungkin PKR tapi masih ada Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya rasa untuk Datuk Seri Mukhriz dan Muhyiddin agak payah disitu. DAP memang tidak akan termasuk sebab nampak gaya kalau masuk situ merupakan langkah bunuh diri bagi karier politik mereka. Yang nampak lebih mudah ialah Parti Amanah Negara (PAN)," katanya.
 
Jelasnya lagi, ia berdasarkan kepada kenyataan Muhyiddin dan Mukhriz semalam yang mendakwa ada pihak menberikan tawaran untuk menyertai parti-parti politik tertentu setelah tidak lagi bersama Umno.
 
Semalam Muhyiddin berkata, mereka berhasrat meneruskan perjuangan politik mereka menerusi platform politik baru dan masih tercari-cari platform itu untuk kembali bertapak di arena politik negara.
 
Bagaimanapun kedua-dua mereka masih mengadakan perbincangan dan sedang mendapat pandangan pelbagai pihak untuk menentukan hala tuju mereka dalam politik.
 
"Mereka akan penat (untuk tubuh parti politik baru), kita lihat bagaimana Amanah (PAN) sendiri walaupun parti baru yang ditubuhkan oleh bekas ahli PAS, nampak mereka bertungkus lumus dan penat. 
 
"Apatah lagi nak tubuhkan satu parti baru dalam keadaan seperti ini. Saya lihat ruang yang lebih mudah, positif dan konstruktif bagi mereka berdua ialah menyertai Amanah (PAN) dan melakarkan satu harapan baru bagi parti tersebut," ujar Dr. Maszlee. 
 
Tambah Maszlee lagi, PAN merupakan platform mudah untuk memulakan lembaran baru kerana parti itu masih segar dan sudah mempunyai objektif yang kukuh dalam gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH).
 
"Dengan kemasukan kedua-dua bekas pemimpin Umno ini, nampak ada satu kelebihan disitu. Mungkin Amanah (PAN) kena mengstruktur semula parti mereka, tidak boleh lagi melihat mereka sebagai parti serpihan PAS.
 
"Tapi melihat sebagai satu kuasa baru kalau kedua-dua ini menyertai Amanah (PAN). Mereka kena lihat diri mereka sebagai sebuah parti Melayu altenatif," katanya lagi.
 
Muhyiddin semalam berkata akan meneruskan karier politiknya dengan mempertahankan Parlimen Pagoh biarpun menggunakan tiket bebas.
 
Majlis Tertinggi (MT) Umno pada Jumaat memutuskan untuk memecat Muhyiddin dan Mukhriz serta merta daripada parti itu kerana kerap kali menyertai pembangkang dalam usaha menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi Deklarasi Rakyat.
 
 

Tiada ulasan: