HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Jun 2016

Isu kafir harbi: Jakim, PDRM didesak segera bertindak

| ARIF ATAN
 
 
Faiz FadzilFaiz Fadzil


Pemuda Amanah Nasional mendesak pihak Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak segera terhadap Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman yang mengeluarkan kenyataan dibimbangi menjejaskan kestabilan masyarakat majmuk di negara ini.

Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil berkata, tuduhan mufti itu ke atas mana-mana pihak sebagai harbi memerlukan kajian terperinci bagi mengelak salah faham dalam kalangan masyarakat.

"Kita juga mahu mengelak sebarang bentuk hasutan, unsur fitnah dan menggangu keharmonian.

"Tapi hampir seminggu kenyataan Mufti Pahang yang mendakwa DAP dan penentang Rang Undang-undang (RUU) 355 sebagai kafir harbi, masih tiada sebarang respond daripada polis mahupun Jakim walaupun terdapat laporan polis dibuat," ujarnya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Beliau berkata, Jakim perlu tampil memberikan pencerahan kepada masyarakat tentang takrifan sebenar kafir harbi, syarat dan kesannya.

"Jakim mesti memainkan peranan bagi menunjukan sifat Islam sebenar sebagai agama yg membawa rahmat.
"Ironinya, RUU 355 belum lagi dibahaskan tetapi bagaimana fatwa sebegitu boleh timbul? Walhal, selaras dengan firman Allah dalam surah An-Nahl, ayat 135 bahawa Allah menyuruh berdakwah dengan hikmah dan nasihat yang baik," jelas peguam itu.

Menurutnya, Jakim bahkan pihak mufti harus memberi penjelasan kepada masyarakat terutama orang bukan Islam tentang keperluan RUU 355.

Menempelak kecenderungan institusi agama dijadikan alat pemerintah Umno-BN untuk membangkitkan perpecahan dalam masyarakat dengan sentimen perkauman atas nama agama, Faiz menyeru fahaman takfiri dibendung daripada terus menular di negara ini.

"Islam adalah agama yang suci dan kesucian itu hendaklah dijaga. Pihak polis hendaklah menjalankan siasatan segera kerana kenyataan kafir harbi boleh mengundang pertumpahan darah akibat tanggapan darah mereka kononnya halal.

"Keamanan adalah tuntutan utama dalam Islam. Tindakan dan respond segera pihak berkuasa amat dituntut," tegasnya lagi.

Tiada ulasan: