HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Jun 2016

Malaysia tidak sempurna tetapi...

Datuk Seri Azalina Othman Said
Datuk Seri Azalina Othman Said


KUALA LUMPUR - Malaysia sebuah negara yang aman jika dibandingkan dengan negara-negara lain di dunia ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, rakyat merasai keamanan itu meskipun Malaysia bukan sebuah negara yang sempurna.

"Saya selalu ingatkan, kalau kita bandingkan negara kita dengan negara-negara lain, mungkin kita tidak begitu sempurna dalam banyak segi tapi kita sebuah negara yang begitu aman. Dengan masyarakat majmuk tetapi kita masih hidup dengan aman.

"Kalau kita lihat Indonesia, Thailand, Filipina, penduduknya ramai. Sebab itu negara kita menerima ramai pendatang asing tanpa izin dan dengan izin. Pelancong juga ramai ke negara kita ini," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Berbuka Puasa bersama Majlis Aids Malaysia (MAC), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan sentiasa prihatin pada golongan yang kurang bernasib baik.

"Kerajaan Malaysia tidak diskriminasi kepada mereka yang sentiasa menganggap diri mereka didiskriminasikan oleh masyarakat.

"Itu sebabnya kerajaan sentiasa bekerjasama dengan NGO-NGO untuk membantu secara terus kepada mereka-mereka yang memerlukan bantuan," katanya.

Pada majlis tersebut 10 rumah perlindungan di bawah MAC menerima RM100,000 untuk persiapan Aidilfitri dan keperluan harian.

Presiden MAC, Bakhtiar Talhah berkata pihaknya mengalami kekurangan dana sejak kebelakangan ini.

"Dana kita memang kurang sejak zaman gawat ini. Pengurangan lebih 60 peratus daripada dana yang biasa kita terima.

"Setahun kos disediakan selalunya RM1 juta tapi sekrang sudah berkurang kepada RM400,000.


Tiada ulasan: