HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Jun 2016

Keganasan tak selesaikan masalah - PAS

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS mengutuk serangan pengebom nekad di Lapangan Terbang Ataturk di Istanbul, Turki malam tadi waktu tempatan.
 
Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, keganasan tidak boleh menyelesaikan sebarang masalah lebih-lebih lagi kejadian itu turut mengorbankan nyawa orang awam.
 
Malah, Islam katanya sama sekali mengutuk amalan keganasan apatah lagi melibatkan nyawa pihak awam yang tidak berdosa. 
 
"Dewan Pemuda mengutuk keganasan yang dilakukan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan di Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul, Turki.
 
"DPPM sekali lagi menegaskan bahawa keganasan tidak pernah menjadi penyelesaian kepada mana-mana masalah. Islam sama sekali mengutuk amalan keganasan apatah lagi melibatkan nyawa pihak awam yang tidak berdosa. 
 
"Serangan berani mati di lokasi awam seperti di lapangan terbang ini jelas sekali dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan sama sekali tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana agama," kata Nik Abduh dalam satu kenyataan hari ini.
 
Dalam serangan tersebut, sebanyak 36 nyawa terkorban di samping 147 orang lagi mengalami kecederaan dalam tiga serangan pengebom nekad di lapangan terbang berkenaan.
 
Agensi berita Dogan melaporkan penyerang mula menembak pengawal lapangan terbang di pintu masuk terminal sebelum meletupkan bom yang dibawa mereka kira-kira jam 10.00 malam waktu tempatan.
 
Nik Abduh turut berkata serangan oleh pihak pengganas itu kini tertumpu ke negara-negara Islam dan menyifatkan Tukri menjadi sasaran utama keganasan.
 
"Turki seolah-olah sedang menjadi plot utama serangan keganasan. 
 
"Dunia masih mengingati bagaimana pada 13 Mac yang lepas, bandar Ankara diserang dengan letupan bom yang mengorbankan 34 orang dan mengakibatkan kecederaan 125 orang mangsa," katanya lagi.
 
Ini kali kedua dalam tahun ini Turki diserang pengganas apabila kejadian sama turut berlaku 12 Januari lalu.
 
Dalam kejadian itu, sekurang-kurangnya 10 nyawa melayang dan menyebabkan lebih 15 orang cedera ekoran insiden letupan berhampiran sebuah taman warisan purba Greek yang menempatkan tugu Obelisk.
 
 
 

Tiada ulasan: