KUALA SELANGOR - Hidup serumpun walaupun berbeza anutan agama, bahasa dan kaum dapat diterjemahkan dalam perkampungan kecil di Bukit Rotan, di sini, apabila masyarakat majmuk ‘berkongsi’ kawasan untuk dijadikan rumah ibadat mereka.
Bukan sahaja masjid, kuil dan tokong, bahkan gereja dibangunkan bersebelahan di sepanjang jalan utama, sekali gus menimbulkan keunikan di kawasan majoriti India itu.
Berkongsi sejarah pembukaan Bukit Rotan, Adun Bukit Melawati, Jakiran Jacomah berkata, dahulunya pekan kecil itu dikelilingi lebih 10 divisyen estet kelapa sawit sehingga menjadi tumpuan ramai termasuk orang Melayu.
“Pekan kecil ini jadi tumpuan India Muslim yang berniaga dan lama-lama bina masjid di kawasan ini…kuil memang sudah ada lama sebab untuk pekerja ladang dan lepas tu yang menganut Kristian pun buka gereja.
“Komuniti Cina yang berniaga di kawasan ini pun bina tokong…jadi semua dalam satu kawasan dan mudah untuk mereka bergaul mesra tanpa kira warna kulit dan sebagainya,” katanya.
Jakiran berkata, beliau bergaul dengan sahabat India sejak berusia 9 tahun lagi dan sentiasa berkunjung ke divisyen estet tertentu setiap kali pekerja ladang dapat gaji.
“Ini kerana waktu itulah ada wayang pacak filem Tamil yang jadi satu-satunya hiburan anak muda dan pekerja ladang. Walaupun tak faham tapi kami layan...siap bawa tikar dan bantal naik basikal ke sana,” katanya mengimbau kenangan silam.
Lebih menarik katanya, ketika zaman belia, anak muda kampung sanggup datang ke estet dan bergotong-royong membersihkan kawasan setiap kali ada perayaan Thaipusam.
“Bila Aidilfitri, mereka juga akan datang bantu. Memang meriah masa tu sebab kami ibarat adik-beradik…hidup kejiranan masa tu cukup kuat.
“Bila jadi wakil rakyat ni, saya tak kekok nak bergaul dengan masyarakat India dan datang ke kuil jika ada jemputan,” katanya.
Majoriti bekas pekerja ladang
Penghulu Mukim Api-Api/Ijok, Husain Idris berkata, Bukit Rotan yang terletak dalam mukim Api-Api/Ijok dahulunya tapak ladang dan tanah kuari milik Jabatan Kerja Raya.
“Mungkin sebab itu rata-rata penduduknya adalah India yang juga bekas pekerja ladang.Penduduk Melayu dan Cina ada juga, cuma tak ramai…yang uniknya mereka boleh hidup harmoni tanpa timbul sebarang isu perkauman dan provokasi serta jalankan aktiviti keagamaan seperti biasa.
“Saya pernah solat berjemaah dan menjadi imam di Masjid An Nuriah Bukit Rotan ini dan suasana cukup harmoni…imam masjid ini pun datang dari India. Khutbah Jumaat juga dibuat tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Arab dan Tamil,” katanya.
Bagaikan adik-beradik
Imam Masjid An Nuriah Bukit Rotan, Fakhrul Hasan Asraf Ali berkata, walaupun masjid, kuil dan tokong dibina bersebelahan, pihak masjid bebas menganjurkan program.
“Tiada halangan daripada mana-mana rumah ibadat lain sebab kami boleh duduk semeja dan saling memahami.
“Kami sama-sama kawan…buat apa gaduh-gaduh sebab duduk dalam satu kawasan. Masing-masing bebas buat program agama dan alhamdulillah semuanya tiada masalah,” katanya.
Bagi penjaga Gereja Tamil Methodist Bukit Rotan, S Devadash, hubungan yang terjalin seperti adik-beradik itu dijaga dengan baik.
“Kita hidup dalam 1Malaysia, kena tolak ansur dan fahami maksud perpaduan. Hidup kena harmoni, uncle pun tak pernah nak beza-bezakan orang Melayu, Cina atau India.
“Memang uncle bangga sebab Bukit Rotan ini satu-satunya yang ada keistimewaan seperti ini yang tak ada di tempat lain. Semua ada dan hidup dalam satu kawasan dengan aman damai,” katanya.
Penduduk, Chew Boon Seng, 56, berkata, dia memulakan hidup di Bukit Rotan sejak 35 tahun lalu dan mencari rezeki dengan membuka kedai motosikal.
“Semuanya ‘ok’ saja dan ramai pelanggan pun semuanya ada Melayu, Cina dan India. Tokong kami pun dekat.
“Sini penduduk Cina dalam 50 keluarga saja tapi kami boleh pergi tokong tanpa gangguan. Kami pun seronok hidup macam ni sebab tak ada gaduh-gaduh,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan