Majlis Iftar (berbuka puasa) Masjid Al-Falah, USJ Subang Jaya, Selangor menggambarkan keharmonian kaum, di mana turut hadir Speaker Dewan Undangan Selangor, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen.
Hannah Yeoh merupakan Adun Subang Jaya dari DAP, sementara Wong Chen dari PKR.
Hannah memberitahu, dia terharu dapat meraikan majlis berbuka puasa ini kerana dapat bertemu ramai masyarakat Islam di kawasannya.
Majlis seperti ini, katanya, wajar digalakkan kerana dapat membina saling pengertian antara kaum.
Pendapat yang sama disuarakan oleh Wong Cheng.
Beliau berkelulusan ekonomi dan mendapat pendidikan awal di Kelantan di mana pergaulannya sangat luas dengan umat Islam.
Oleh itu, katanya, majlis seperti ini sangat berharga dalam usaha mengeratkan perpaduan kaum.
Lebih 600 orang telah menyertai Majlis Iftar tersebut, termasuk staf Hannah Yeoh dan Wong Chen.
Mereka yang menyertai iftar ini terdiri dari penduduk sekitar, para musafir dan pekerja asing.
Selepas selesai majlis tersebut, jamaah bersolat tarawih.
Seperti biasa tiap Ramadhan, Adun Subang Jaya memberikan sumbangan wang kepada masjid dan surau sekitar Subang Jaya di samping memberikan kurma dan buah tangan lain.
Majlis seperti ini adalah untuk kesekian kalinya diadakan di masjid tersebut.
Beberapa tahun lalu, Adun Subang Jaya dan Ahli Parlimen Kelana Jaya serta staf mereka juga telah menyertai majlis berbuka puasa di Masjid Darul Ehsan Subang Jaya.
Bagi penduduk tempatan, majlis seperti ini sangat bererti dalam usaha memupuk keharmonian kaum dan memberikan makna akan toleransi kaum yang menjadi nilai Islam.
Jamaah tempatan di Masjid Al-Falah itu berbuka puasa dengan para tetamu, kemudian solat Maghrib dan seterusnya menikmati jamuan nasi.
Tentu saja diharapkan majlis yang penuh harmoni seperti ini akan meluas di tempat lain untuk mengukuhkan saling pengertian di antara masyarakat Islam dan bukan Islam..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan