HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Jun 2016

Saya lebih rela mati berdiri, daripada hidup melutut – Guan Eng

WhatsApp-Image-20160630

Roketkini.com

 
GEORGE TOWN:  “BN boleh dakwa saya, tetapi tidak akan dapat membunuh iltizam saya demi membebaskan Malaysia daripada rasuah.

“BN boleh memangsakan saya, tetapi tidak akan menghancurkan semangat saya untuk membebaskan saya daripada mereka yang merompak masa depan anak cucu kita.

“BN boleh aibkan saya, suka-suka tahan saya. Tetapi mereka tidak akan berjaya menukar hitam jadi putih, tidak akan berjaya menukar makruf jadi mungkar, mungkar jadi makruf.”

Demikian kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam sidang media selepas didakwa di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, setelah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Beliau menegaskan tidak akan tunduk terhadap permainan politik jahat dan kotor yang bertujuan menghancurkan reputasinya mahupun imej negeri Pulau Pinang sebagai negeri yang paling bersih dan paling baik urus tadbirnya di Malaysia.

“Kami bangga dengan pelaksanaan tender terbuka dan bangga dengan pujian daripada Transparency International dan laporan tahunan Ketua Audit Negara,” ujarnya.

Menyifatkan pendakwaan terhadapnya sebagai percubaan BN untuk cuba memalit lumpur ke muka orang lain demi menyembunyikan skandal rasuahnya sendiri.

“Jika BN rasa ia boleh mematahkan semangat saya dengan menahan saya, mereka salah sama sekali! Saya lebih rela mati daripada hidup melutut,“ tegas beliau yang juga Setiausaha Agung DAP.

Hairan dengan pertuduhan

“Saya juga hairan dengan apa yang bermula sebagai serangan politik jahat terhadap saya kononnya menjual tanah Taman Manggis yang sepatutnya diberikan kepada orang miskin akhirnya berakhir tanpa sebarang penghujung.

“Apa guna menteri BN kecoh-kecoh tentang Taman Manggis? Jelas sekali tidak ada apa-apa yang salah dengan penjualan tanah Taman Manggis,” tambahnya mengulas pendakwaan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM yang dibaca bersama Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menjelaskan bahawa pembelian rumah daripada Cik Phang Li Koon adalah dilakukan dengan tulus hati, antara individu yang tidak mempunyai kepentingan perniagaan, atas dasar kerelaan penjual dan pembeli tanpa sebarang paksaan atau sebarang balasan istimewa daripada saya mahupun kerajaan negeri.

“Tidak seperti kes Khir Toyo, Cik Phang tidak rugi sehingga RM5 juta, malah memperoleh keuntungan kecil sebanyak RM300 ribu daripada harga asal RM2.5 juta yang dibayarnya.

“Tidak seperti kes Khir Toyo, Cik Phang bukanlah pemaju perumahan yang haru bergantung kepada kerajaan negeri untuk meneruskan perniagaannya,” jelasnya lagi, mengulas perbezaan kesnya dengan kes rasuah mantan menteri besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo.

“Tentang pertuduhan kedua berkait kelulusan permohonan Magnificent Emblem Sdn. Bhd. (MESB) untuk menukar status tanahnya daripada tanah pertanian kepada tanah perumahan; MESB tidak berjaya melakukan pertukaran status hartanahnya kepada tanah perumahan.

“Hartanah tersebut masih kekal sebagai tanah pertanian. Apa faedah yang didapati MESB apabila ia tidak mendapat kelulusan pertukaran status terbabit apabila ia tidak mendapat izin akhir daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang,” soal beliau.

Peguam Negara Datuk Mohamed Apandi Ali yang mengetuai pendakwaan meminta jumlah ikat jamin sejumlah RM1 juta dengan seorang penjamin bagi Guan Eng, dengan syarat tambahan mesti memaklumkan kepada Pejabat Peguam Negara dua hari lebih awal sebelum ke luar negara.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azmi Ariffin menetapkan tarikh 22 September 2016 jam 9.00 pagi sebagai sesi pengurusan kes di kamar Mahkamah Tinggi. – Roketkini.com


Tiada ulasan: