HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Jun 2016

Muhyiddin, Mukhriz disaran sertai platform NGO Melayu

Muhyiddin, Mukhriz disaran sertai platfom NGO Melayu
Marthada


SHAH ALAM - Penganalisis politik berpendapat bahawa bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir perlu terlibat dalam politik menerusi platform badan bukan kerajaan (NGO) Melayu buat masa ini.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, sekiranya Muhyidin dan Mukhriz menggunakan platfom parti pembangkang, ia akan mengundang kesukaran buat mereka bagi mendapatkan sokongan dari ahli-ahli Umno khususnya di kawasan sendiri.

"Pada hari ini, mereka masih dihormati dan disegani penyokong-penyokong Umno terutamanya yang bersimpati terhadap apa yang dialami. Namun sokongan dan simpati ini akan hilang jika mereka berada bersama-sama pembangkang.

"Dan Muhyiddin juga telah berjanji dalam kenyataannya semalam untuk terus memperjuangkan kepentingan orang-orang Melayu," katanya ketika dihubungi Sinar Online hari ini.

Baru-baru ini, Majlis Tertinggi Umno (MT) memutuskan agar Muhyiddin dan Mukhriz dipecat daripada Umno berkuat kuasa serta merta manakala Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal pula digantung dari jawatannya.

Sehubungan itu, Marthada memaklumkan bahawa melalui NGO-NGO Melayu ini, suara mereka akan mudah untuk diberikan perhatian berbanding sekiranya berada bersama-sama pembangkang.

Selain itu, Marthada memaklumkan bahawa peluang Muhyiddin dan Mukhriz kembali semula bersama Umno juga adalah cerah sekiranya mereka tidak menyertai parti pembangkang.

"Bagi saya, platform yang terbaik buat mereka masa ini ialah melalui NGO seperti Perkasa atau mana-mana NGO yang memperjuangkan agenda Melayu," katanya.



Tiada ulasan: