Pendakwaan ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng selepas dua pemimpin kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersara awal didakwa bertujuan memusnahkan karier politik setiausaha agung DAP itu.
Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dalam satu kenyataannya berkata, tindakan ini juga dibuat oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak selepas menang besar dalam pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
"Perdana menteri sedang mengambil peluang untuk melemahkan pembangkang selepas memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum kemungkinan mengadakan pilihan raya umum lebih awal pada awal tahun depan," kata Tony dalam satu kenyataannya hari ini.
Kata Tony, ini bukan kali pertama Lim didakwa oleh kerajaan BN.
Dia telah ditangkap dan didakwa pada tahun 1994 kerana mengkritik kerajaan yang gagal mendakwa Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik di atas dakwaan merogol gadis di bawah umur.
Lim telah didakwa di bawah akta mesin cetak 1984 dan dipenjarakan selama 18 bulan di penjara Kajang.
"Walaupun telah dimalukan, Lim tidak hilang kepercayaan rakyat apabila beliau diundi untuk kembali ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2008.
"Dia kemudiannya membuktikan bahawa pembangkang yang ada mampu memerintah Malaysia dan menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang makmur di negara ini," katanya.
Tony juga berkata, DAP mempunyai keyakinan penuh ke atas kewibawaan Lim dan yakin beliau tidak bersalah "dan kami akan menentang dakwaan yang dibuat tanpa asas undang-undang ini".
Lim bakal didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang hari ini di bawah seksyen 23 Akta SPRM dan seksyen 165 Penal Kod.
Dakwaan pertama berkaitan dengan dakwaan salah guna kuasa mengubahsuai zon tanah manakala dakwaan kedua pula berkaitan pembelian banglo yang didiaminya dengan dakwaan ia dibeli di bawah harga pasaran.
Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali akan mengetua pasukan pendakwaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan timbalannya, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull telah bersara lebih awal dari jadual sebenar.
Sebelum bersara, Bahri bertanggungjawab mengendalikan kes SRC International Sdn. Bhd. yang berkaitan dengan skandal 1MDB dan pernah dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri, tetapi kedudukannya di SPRM kemudiannya dipulihkan semula selepas mendapat kritikan teruk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan