HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Jun 2016

Noh bantu BN rampas Selangor


Cina Sarawak, Cina Semenanjung 'berperang'
 

PELANTIKAN Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dipercayai salah satu strategi BN untuk merampas tampuk pemerintahan kerajaan Selangor daripada pembangkang, lapor China Press.

Menurut seorang penganalisis politik, Chia Tse Kin, keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meletak Noh sebagai menteri penuh adalah tepat jika BN benar-benar mahu mencapai kemenangan besar di Dun Selangor dalam PRU akan datang.

"Sekiranya Selangor mempunyai menteri, kerajaan pusat akan lebih mudah menyalurkan bantuan pembangunan kepada negeri ini. Noh adalah Pengerusi BN Selangor dan kini dilantik pula sebagai menteri, memang jelas ini adalah usaha BN untuk merampas kuasa daripada tangan pembangkang," katanya.

Beliau berkata, demi menghargai Umno Selangor yang memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar pada PRK baru-baru ini, pelantikan Noh sebagai menteri akan mampu menyuntik semangat pemimpin BN dan Umno negeri itu untuk bekerja lebih keras lagi menghadapi PRU14.

Penganalisis politik itu meramalkan Najib kemungkinan akan membubarkan Parlimen lebih awal untuk mengadakan PRU pada tahun hadapan memandangkan kedudukannya semakin stabil.

Beliau berkata, Perdana Menteri mungkin akan melantik lebih ramai menteri dari Gerakan dan MCA selepas PRU14 bagi mencerminkan barisan jemaah menteri yang lebih berbilang bangsa.

Secara umumnya, kata beliau, rombakan Kabinet ini jelas menunjukkan Najib ingin menyusun portfolio dan sumber terutama sekali di Sarawak dan Selangor menjelang PRU akan datang.

Bagaimana pun, pelantikan semula Noh sebagai menteri dipertikaikan oleh pemimpin DAP, Lim Kit Siang kerana didakwa tidak mampu memperkuatkan kewibawaan jemaah menteri.

Selain itu, Kit Siang turut terkejut bekas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan ditukar jawatan dengan dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menerajui Unit Perancang Ekonomi (EPU).

"Jumlah jemaah menteri yang diumumkan Najib masih terlalu ramai malahan pada masa yang sama, beliau masih memegang jawatan Menteri Kewangan," katanya.

Akhbar ini turut melaporkan, pengumuman rombakan kabinet kelmarin dikatakan turut mengecewakan MCA kerana gagal memperoleh jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri seperti yang dituntut mereka sebelum ini.

Sumber MCA memberitahu, MCA amat perlukan jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri seperti apa yang dipegang oleh mereka sebelum PRU13, bagaimana pun, penantian oleh parti ini tetap tidak dapat ditunaikan.

Selain itu, MCA juga dikatakan memohon tambahan dua jawatan timbalan menteri, iaitu Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dan Timbalan Menteri Pelancongan.

Namun pengumuman Najib kelmarin menunjukkan pembabitan wakil MCA hanyalah pertukaran portfolio antara Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong dengan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Lee Chee Leong.

Sumber itu turut memberitahu, pucuk pimpinan MCA ada mencadangkan kepada Najib agar menukar Tee Yong ke kementerian yang lain. Namun, Tee Yong ketika ditemui enggan mengesahkannya dan menegaskan keputusan itu adalah terletak pada tangan Perdana Menteri.

Biarpun ia adalah bertukaran kecil, namun ia tetap diterima baik oleh masyarakat Cina kerana kedua-dua kementerian tersebut masih mempunyai wakil daripada MCA bagi menyuarakan kepentingan masyarakat Cina pada keseluruhannya.

Chee Leong adalah wakil MCA yang terakhir memegang Jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri, iaitu rombakan Kabinet sebelum PRU 13.

Rombakan Kabinet kelmarin adalah kali ketiga dilakukan Najib selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.


Tiada ulasan: