HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Jun 2016

Keluar kabinet, AMANAH cuba 'sambar' Husni

MALAYSIAKINI


Keluar daripada kabinet Datuk Seri Najib Razak semalam, bekas menteri kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hari ini mendapat tawaran menyertai parti baru.

Ini susulan pembangkang terus menimbulkan spekulasi berkaitan sebab sebenar pengunduran mengejut itu.

Setiausaha Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak Safarizal Saleh menjadi pihak pertama mempelawa bekas pemimpin kanan Umno itu menyertai mereka.

“Pelawaan ini terbuka jika hasrat Datuk Seri Husni untuk terus memperjuangkan keadilan melalui wadah AMANAH yang dirasai sesuai berikutan penamatan perkhidmatan beliau yang juga menteri kewangan kedua dalam rombakan kabinet semalam,” katanya.

Perdana menteri semalam berkata beliau tidak memasukkan Husni dalam kabinetnya bagi menghormati permintaannya yang ingin bersara.

Kenyataan susulan daripada bekas setiausaha politiknya menyebut Husni turut meletakkan jawatan sebagai bendahari Umno, timbalan pengerusi Umno Perak serta ketua Umno dan BN bahagian Tambun.

Husni dilantik sebagai menteri kewangan kedua sejak Najib menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri pada 2009.

Semasa memegang jawatan itu, beliau dilantik sebagai jurucakap 1MDB di tengah-tengah kontroversi itu pada 2015.

Beliau pernah dilaporkan berkata, laporan interim peguam negara menunjukkan syarikat pelaburan negara itu tidak melakukan sebarang salah laku.

Beliau juga menyebut AS$1 bilion simpanan di Kepulauan Cayman dalam bentuk “unit”, bukan tunai.

Husni turut menggesa pemotongan peruntukan kepada kementerian-kementerian dengan berkata indeks prestasi utama (KPI) diukur berdasarkan simpanan mereka.

Dalam kenyataan hari ini, Safarizal mengesyaki banyak isu di sebalik pengunduran Husni yang diumumkan semalam.

Safarizal membuat spekulasi ia berkaitan 1MDB, kemasukan derma berbilion ringgit ke dalam akaun peribadi Najib dan pemecatan timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pemuda AMANAH Perak juga memuji tindakan Datuk Seri Husni yang melepaskan jawatannya kerana kami yakin pastinya ada isu-isu yang meruncing dalam kerajaan BN sehinggakan Datuk Seri Husni bertindak melepaskan semua jawatan yang disandangnya,” kata Safarizal.

Anggota parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar hari ini turut menimbulkan persoalan berkaitan tindakan Husni yang dispekulasikannya sebagai “protes senyap” terhadap Najib.


Tiada ulasan: