HALAMAN SANTAI

Rabu, 29 Jun 2016

Umno Tambun terima peletakan jawatan Husni tapi mahu penjelasan

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
IPOH: Umno Bahagian Tambun menghormati keputusan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah meletak semua jawatannya dalam parti dan Barisan Nasional (BN) termasuk sebagai Ketua Umno Bahagian Tambun dan Bendahari Agung BN.
 
Timbalan Ketua Umno Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah berkata, bagaimanapun bahagian itu berharap Ahmad Husni, yang turut melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kewangan Kedua, dapat tampil memberi penjelasan mengenai perkara itu.
 
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung peletakan jawatan Ahmad Husni sebaliknya memberi beliau masa untuk menjelaskannya.
 
"Saya perlu bertemu sendiri dengan Datuk Seri (Ahmad Husni) kerana setakat ini, apa yang saya peroleh sama seperti yang Datuk Shamsul Zairil Kamaruddin maklumkan.
 
"Apa juga keputusan beliau, kita hormati tapi dalam masa sama, berharap dia akan terus bersama kita," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Umno Bahagian Tambun di sini, malam tadi.
 
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan rombakan Kabinet memaklumkan peletakan jawatan Ahmad Husni sebagai Menteri Kewangan Kedua atas sebab peribadi.
 
Menerusi Shamsul Zairil yang juga setiausaha politiknya, Ahmad Husni turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Bendahari Umno dan Bendahari Agung BN, Timbalan Pengerusi Umno Perak, Timbalan Pengerusi BN Perak, Ketua Umno Bahagian Tambun dan Pengerusi BN Parlimen Tambun. - BERNAMA
 
 

Tiada ulasan: