HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Jun 2016

Penahanan Guan Eng: Pembangkang cepat melatah


Guan Eng
Guan Eng


KUALA LUMPUR - Pembangkang didakwa cepat melatah apabila penyokongnya berkumpul di hadapan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantah penahanan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebaiknya penyokong pembangkang menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan sama ada Guan Eng bersalah atau tidak.

"Tapi pembangkang ini saya lihat macam melatah. Belum apa-apa sudah beremosi.

"Adakah mereka beremosi kerana takut tuduhan itu benar atau sebab mereka tak faham proses undang-undang? Tapi bagi saya, nak kata tuduhan itu, banyak orang pun kena tuduh. Jadi, kita tidak boleh buat sebarang kesimpulan," katanya dalam sidang media di program berbuka puasa bersama Majlis Aids Malaysia, di sini, hari ini.

Menurut beliau, tindakan penyokong DAP itu seolah-olah cuba memberi tekanan kepada SPRM.

"Saya lihat cara mereka keluar beramai-ramai itu seolah-olah nak beri tekanan kepada SPRM dan saya tak tahu sama ada bila kes ini berjalan, mereka nak beri tekanan pula kepada mahkamah. Saya tak tahulah," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas sama ada Guan Eng wajar bercuti atau melepaskan jawatannya, Azalina berkata, ia terserah kepada dasar parti DAP.

"Elemen cuti bila kena tuduh itu BN yang pakai. Kalau tak salah saya ada dua tiga kes pemimpin BN terpaksa lepaskan jawatan.

"Saya tak pasti dasar DAP. Tetapi ini bukan kali pertama SPRM buat tuduhan kepada ahli politik, wakil rakyat BN pun pernah ada macam-macam kes berlaku," katanya.


Tiada ulasan: