HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Jun 2016

AirAsia Promosi KLIA2 Sebagai Terminal Penerbangan Tambang Rendah Dengan Pelaburan RM20 Juta

MSTAR ONLINE
 
 
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar bercakap kepada media selepas mengadakan mesyuarat tertutup bersama Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai di Putrajaya, Rabu. -foto MOHD SAHAR MISNI/The Star
 
 
PUTRAJAYA: AirAsia akan terus mempromosikan KLIA2 sebagai Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) dengan AS$5 juta (RM20 juta) akan dibelanjakan untuk kempen pemasarannya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes.

"Dengan jangkaan lebih banyak LCCT (pada masa akan datang), kami akan memanggilnya LCCT KL, hab tambang rendah Asia, dan sehenti untuk ke mana-mana sahaja di Asia pada kadar tambang terendah," katanya menerusi laman twitter selepas menemui Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai di sini Rabu.

AirAsia tidak akan membelanjakan wang tersebut di Malaysia tetapi di negara lain untuk mempromosikan KLIA2 seperti Lapangan Terbang Dubai, yang menjadi hab transit utama.

Beliau berkata dalam pertemuan selama dua jam itu, menteri telah mengambil perhatian mengenai pelan syarikat penerbangan itu untuk mempromosikan KLIA2 sebagai hab tambang rendah serantau.

Pertemuan antara Fernandes dan Liow itu untuk menyelesaikan isu antara  AirAsia dan pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), yang telah menjadi pertikaian berhubung nama dan penjenamaan KLIA2.

"Pertemuan yang amat baik dengan Liow dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman. Paling penting adalah penerimaan bahawa terminal kita adalah hab tambang rendah.

"Isu penting bukan nama tetapi yang dipromosikan dalam terminal dan kepada dunia bahawa KLIA mempunyai hab tambang rendah dengan kadar tambang yang rendah," katanya dalam laman blog mikro, Twitter.

Fernandes yakin Liow akan dapat mencari penyelesaian 'menang-menang' yang baik bagi AirAsia dan MAHB.

"Matlamatnya untuk mendapatkan lebih ramai penduduk ASEAN, Asia dan dunia menggunakan hab tambang rendah kami. Satu juta (orang telah melakukan perjalanan melalui klia2) setakat ini tahun ini. Kami mahu meningkatkannya. (Ini) akan menjadi amat baik kepada ekonomi," katanya.

Liow sebelum ini telah mengumumkan bahawa tiada perubahan nama pada KLIA2.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa kementerian bersedia untuk mendengar cadangan AirAsia untuk meletakkan KLIA2 di peringkat antarabangsa sebagai terminal tambang rendah yang utama untuk terus meningkatkan sektor pelancongan dan penerbangan negara.

Sementara itu, Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali berkata pengendali lapangan terbang itu mempunyai hak untuk mengekalkan jenama KLIA2 termasuk mengambil tindakan undang-undang.

Mengenai perkembangan lain, Fernandes berkata beliau telah membincangkan potensi untuk menjadikan lapangan terbang lama di Melaka sebagai terminal tambang rendah.

"Kami mahu menggunakan lapangan terbang Melaka. Kami telah berjaya dengan Lapangan Terbang Langkawi. Bagaimanapun, kami masih belum mendapat kebenaran  MAHB untuk menggunakan lapangan terbang tersebut," katanya.

Beliau berkata AirAsia akan memulakan sektor Langkawi-Hong Kong dan syarikat penerbangan itu berminat untuk melaksanakan inisiatif sedemikian di Melaka.

Tiada ulasan: