shahbudindotcom
Berbanding
Mufti Perak, Harussani Zakaria, Mufti Pahang, Dr Abdul Rahman Osman
atau Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Asyraf Wajdi
Dasuki, kenyataan oleh Timbalan Mufti Kedah, Sheikh Marwazi Dziyauddin
berhubung dana haji dan kaitannya dengan amalan yang mabrur di sisi
Tuhan, terlihat lebih adil, seimbang dan boleh diterima ramai.
Dalam
penjelasannya berhubung bidasan Tun Mahathir Mohamad bahawa mereka yang
ditaja hajinya melalui dana 1MDB mungkin kurang mabrur, Sheikh Marwazi
berkata, antara asas utama dalam ibadah haji ialah mesti bersumberkan
dana yang halal kerana jika sumber dananya tidak halal, dikhuatiri
amalan rukun Islam kelima itu tidak diterima oleh Tuhan.
Kata
beliau, sekiranya wang daripada dana 1MDB merupakan pelaburan yang
patuh syariah, ibadah bagi orang yang melaksanakan haji akan diterima
oleh Allah.
"Memang kita dituntut dan diwajibkan melaksanakan ibadah dengan menggunakan harta yang halal dan bersih.
"Kalau
dalam masalah 1MDB, saya tak pasti duit itu macam mana. Kalau duitnya
duit pelaburan dan patuh syariah seperti pelaburan-pelaburan lain,
mudah-mudahan kita berharap kerja haji itu akan diterima.
"Tetapi,
kalau sumber kewangannya tidak halal, sudah tentu Allah akan tolak.
Jadi, sumber halal atau tidak 1MDB itu, kita tak tahu," tegasnya lagi.
Sejuk hati apabila masih ada ulama yang seperti ini. Rasa selamat dan sejuk dunia dibuatnya.
Berbanding
hujah Harussani yang mengatakan Tun Mahathir bukan Tuhan, Dr Abdul
Rahman juga memberitahu perkara itu adalah hanya urusan Tuhan, sementara
Dr Asyraf Wajdi menempelak bekas Perdana Menteri itu yang dianggapnya
berlagak seperti Tuhan, pandangan Sheikh Marwazi ternyata lebih
rasional.
Cuma,
halalkah sumber dana 1MDB itu sedangkan kita semua sudah didedahkan
macam-macam hal melalui media mengenai pelaburan dan bagaimana dananya
diperolehi sebelum ini?
Sebab
itu, Tabung Haji yang menguruskan ibadah haji sentiasa dipastikan
melakukan pelaburan yang benar-benar halal dan suci serta ada
jawatankuasa syariah yang memandu dan memantaunya.
Bayangkan,
adakah umat Islam negara ini, termasuk pemimpin-pemimpin UMNO dan
mufti, sedia menyimpan dan pergi haji melalui Tabung Haji jika
diketahui ada unsur-unsur tidak halal dan meragukan dalam simpanan,
pelaburan dan pengurusan kewangannya?
Lagi
pula, syarat haji ialah mampu dan bukan menjadi kewajipan kerajaan
untuk menjadikan rakyatnya bergelar haji melalui tajaan percuma jika
mereka sendiri masih belum berkemampuan.
Tanggungjawab
kerajaan kepada rakyat ialah mengurus dan memperbaiki kehidupan seperti
perumahan, pendidikan, perubatan, keperluan asas dan seribu satu
perkara lain yang sentiasa memerlukan penambahbaikan daripada semasa ke
semasa.
Mengapa menghantar orang ke Mekah yang menjadi keutamaan Najib Razak?
Akhirnya,
semoga Sheikh Marwazi terus berani bercakap benar dan tidak seperti
ulama-ulama lain yang berpilih-pilih bila mahu bersuara dan bila pula
lebih selesa hanya mendiamkan diri.




Tiada ulasan:
Catat Ulasan