SHAH ALAM: Naib Presiden PAS, Idris Ahmad membidas Ahli Parlimen Pokok
Sena, Datuk Mahfuz Omar yang sebelum ini mengkritik parti ekoran tidak
menghantar seorang pun wakil ke majlis perasmian Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM), Sabtu lalu.
Jelas Idris, PAS mempunyai program lain pada waktu yang sama dengan pelancaran parti baru berkenaan.
Oleh itu ujar Idris, Mahfuz sewajarnya mendapatkan penjelasan daripada parti terlebih dahulu sebelum melontarkan kritikan.
"Dia (Mahfuz) tahu tak sebab apa (kita tak hadir). Kita (masa itu) ada
program sendiri," katanya kepada Antarapos, merujuk kepada Himpunan RUU
355 peringkat Wilayah Persekutuan, yang turut diadakan pada malam Sabtu
lalu.
"Tanya lah dulu, tak elok la panaskan keadaan," bidas Idris.
Mahfuz sebelum ini mengkritik partinya yang tidak menghantar seorang
pun wakil ke majlis perasmian PPBM sebagai tanda sokongan kepada parti
baru itu.
Dakwa Mahfuz, tindakan PAS itu boleh memburukkan keadaan kerana dilihat
seolah tidak mahu menjalin kerjasama bersama pembangkang lain seperti
yang dimahukan rakyat.
Mahfuz adalah satu-satunya pemimpin PAS yang hadir pada majlis berkenaan, dan menjelaskan kehadirannya atas kapasiti peribadi.
Ketika ditanya sama ada parti akan mengambil tindakan terhadap Mahfuz
ekoran kelantangan mengkritik parti di samping kerap menghadiri majlis
ajuran Pakatan Harapan (PH), Idris sambil berseloroh berkata parti tidak
ambil pusing hal berkenaan.
"Kita pun tak peduli masalah dia," kata Ahli Parlimen Bukit Gantang itu.
Dalam pada itu, seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Samad
berkata, ketidakhadiran PAS ke majlis PPBM itu kerana dua seterunya,
Amanah dan DAP turut hadir pada majlis tersebut.
Menurut Iskandar lagi, PAS tidak mempunyai hubungan politik dengan
kedua-dua parti tersebut menyebabkan pimpinan sebulat suara mengambil
keputusan tidak hadir ke pelancaran PPBM.
Tambah Iskandar, pihaknya kecewa apabila pelbagai tuduhan dan dakwaan
dilempar kepada PAS kerana isu 'tidak hadir' tersebut termasuk
mengatakan ia seolah-olah menghina Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir
Mohamad dan parti pembangkang keseluruhannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan