SHAH ALAM: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM),
Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengakui terbit rasa 'geram' apabila bapanya
sering menjadi mangsa kecaman pelbagai pihak, khususnya selepas bersama
barisan pembangkang.
Mantan Menteri Besar Kedah itu mendakwa, kebanyakan kritikan terhadap
Tun Dr Mahathir itu datang daripada individu yang pernah dibantu bapanya
dahulu.
"Bagi saya dan keluarga, perkara itu sudah jadi kebiasaan, meskipun
tidak sepatutnya berlaku, nak kata macam dah lali. Dari dulu lagi
sewaktu beliau (Dr Mahathir) sebagai perdana menteri pun selalu dikecam.
"Rasa geram kerana kita kenal mereka ini, dulu sahabat juga. Saya boleh
sebutkan satu persatu setiap orang yang kata Dr Mahathir, apa yang Tun M
bantu mereka dulu. Tentu semua orang tahu.
"Kalau dia tidak beri ruang kepada individu itu, mereka tidak akan
sampai ke tahap hari ini. Orang seperti ini yang kecam beliau," katanya
dipetik dari wawancara bersama Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta berkongsi perasaan sebagai anak
Dr Mahathir apabila sering melihat pemimpin itu dikecam pelbagai pihak.
Dalam wawancara itu juga, Mukhriz ketika mengulas mengenai soal
kerjasama antara PPBM dengan PAS berkata, ia masih berjalan dengan
partinya sentiasa mendapat jemputan dari PAS untuk sepentas dalam
beberapa majlis anjuran parti itu.
"Kita pun ada 'time line' sendiri, sambil itu juga kita mulakan perbincangan dengan Pakatan Harapan (PH) dan buat perjanjian.
"Walaupun begitu kerjasama dengan PAS masih berjalan. Kami banyak
menerima jemputan, menyertai ceramah dan berucap dalam majlis anjuran
PAS peringkat negeri," katanya.
Tambah beliau, kenyataan PAS yang menyatakan komitmen untuk mewujudkan
keadaan satu lawan satu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), memberi
isyarat positif.
"Jadi, PPBM memainkan peranan penting, kita jadi perantara Pakatan
Harapan dengan PAS. Kita perlu cari formula di mana keadaan ini dapat
dijayakan," katanya lagi.
PPBM pada 13 Disember lalu mengikat kerjasama politik dengan PH
bertujuan untuk meletakkan satu calon mewakili gandingan itu bagi
menentang Barisan Nasional (BN) pada PRU14.
Menurut draf perjanjian kerjasama politik yang ditandatangani, PH yang
merangkumi PKR, DAP dan Amanah serta PPBM juga bersetuju pembahagian
kerusi diputuskan menerusi rundingan berdasarkan prinsip
kebolehmenangan.
PAS bagaimanapun sehingga kini berpendirian enggan menyertai PH kerana
tidak mahu mempunyai sebarang hubungan dengan dua musuhnya, DAP dan
Amanah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan