Oleh Azizul Osman & Nur Atiqah Abd Samad
SHAH ALAM: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)
Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata partinya yakin dapat memenangi hati
rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) kelak.
Keyakinan itu dizahirkan bekas Timbalan Menteri itu ketika menyampaikan ucapan di majlis perasmian PPBM sebentar tadi.
Malam ini PPBM akan dilancarkan secara rasminya oleh Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad setelah lebih tiga bulan ditubuhkan.
"Saya yakin bahawa kemenangan akan memihak kepada kita akhirnya. PPBM
dan rakan-rakan parti politik seperjuangan akan dapat menawan hati
rakyat, memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 lantas menubuhkan kerajaan
persekutuan yang baharu, selain kerajaan negeri", katanya di Stadium
Melawati.
Dianggarkan seramai 5,000 ahli dan penyokong parti itu hadir dalam majlis perasmian itu.
Kebanyakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) hadir dalam majlis berkenaan
antaranya Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden
Amanah Mohamad Sabu.
Malah turut kelihatan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali,
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, Tian Chua (Naib Presiden PKR),
dan Datuk Mujahid Yusof Rawa (Naib Presiden Amanah).
Bagaimanapun pemimpin utama DAP serta PAS tidak kelihatan di Stadium
Melawati kecuali seorang ahli Parlimennya, Datuk Mahfuz Omar, yang lazim
hadir ke program PPBM atas kapasitinya sendiri dan bukan mewakili
parti.
DAP hanya diwakili oleh Naib Pengerusinya Teresa Kok.
PPBM bertindak menyertai PH atas dasar persefahaman bagi menghadapi
Barisan Nasional (BN) dalam konsep satu lawan satu pada PRU14 akan
datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan