KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan tidak pernah menarik apa-apa
kemudahan yang disediakan kepada mana-mana bekas perdana menteri
termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri (JPM)
hari ini, pejabat Dr Mahathir telah dibekalkan dengan perjawatan yang
meliputi pejabat beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) serta
kediaman beliau di The Mines Resort City, Selangor selaras dengan Akta
Ahli Parlimen (Saraan), 1980 (Akta 237).
Menurutnya perjawatan yang diperuntukkan kepada Dr Mahathir adalah sebanyak 21 perjawatan.
“Semua perjawatan ini ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan
meliputi pembayaran gaji, elaun tuntutan dan lain-lain kemudahan yang
layak dinikmati sebagai penjawat awam," kata JPM berhubung status semasa
kemudahan untuk Dr Mahathir.
Baru-baru ini tular di media sosial bahawa kemudahan bagi Dr Mahathir dikatakan dikurangkan atau ditarik balik.
JPM berkata kerajaan turut menanggung bayaran-bayaran utiliti di YKP serta kediaman rasmi beliau sehingga kini.
Selain itu, menurut JPM, kerajaan juga menanggung kos bagi bayaran
elaun makan dan lain-lain kos kepada juruiring, pengawal peribadi,
pegawai perubatan dan penolong pegawai khas bagi lawatan yang dihadiri
oleh bekas perdana menteri itu ke luar negara.
“Justeru, kerajaan sekali lagi menegaskan bahawa tiada sebarang
kemudahan yang ditarik balik dan layanan sama rata diberikan kepada
kesemua bekas perdana menteri,” kata JPM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan